ESTONIA 0 BELANDA 4

Virgil van Dijk menggesa Belanda agar tidak mendabik dada walaupun mencatat kemenangan 4-0 di Estonia, awal pagi tadi, untuk meneruskan kemenangan dalam kempen Kumpulan C, kelayakan Euro 2020.


Skuad The Oranje itu cukup garang ketika berkunjung ke Tallinn yang menyaksikan gol berganda Ryan Babel dalam separuh masa pertama ditokok Memphis Depay dan Georginio Wijnaldum di peringkat akhir permainan.

Kemenangan itu memastikan Belanda meraih tiga mata untuk terus menghambat dua pasukan yang berkongsi puncak kedudukan dengan 12 mata, Ireland Utara, yang tumbang 2-4 kepada Jerman dalam satu lagi aksi kelayakan kumpulan itu, awal pagi tadi.

Skuad asuhan Ronald Koeman itu bakal menghadapi Ireland Utara dalam perlawanan berikutnya bulan depan sambil menyedari kekalahan di Rotterdam akan melenyapkan peluang mereka untuk mara ke pusingan akhir manakala kemenangan akan membawa mereka untuk menyamai mata dengan lawan mereka itu.

Prestasi Belanda cukup mempesonakan dalam jadual antarabangsa kali ini, namun Van Dijk tetap berwaspada untuk tidak mahu terlalu teruja memandangkan masih banyak yang perlu dilakukan.

"Kami telah melaksanakan tugas dengan baik dengan mencipta dua kemenangan tetapi kami masih belum layak," katanya kepada NOS.

"Kami juga mahu memenangi dua perlawanan seterusnya."

Mengenai kemenangan bergaya itu, pertahanan Liverpool itu menegaskan bahawa mereka sememangnya sedar bahawa Estonia mudah diratah sekiranya diberikan tekanan.

"Kami tahu mereka akan pincang dan kami perlu bersabar," katanya. "Kami juga perlu mematahkan serangan balas mereka. Usaha ini menjadi walaupun kami sepatutnya meningkatkan lagi tekanan dalam babak pertama.

"Tiada pasukan yang boleh menahan asakan seperti ini. Hantaran kami dari sayap ke bahagian sayap yang lain menjadi lebih baik dan ia memberikan kami lebih banyak peluang.

"Sebab itulah kami dapat melakukan lebih banyak jaringan. Saya tidak menganggap ia satu malam yang sukar."