BELANDA 3 IRELAND UTARA 1

Virgil van Dijk mengakui Belanda melalui detik yang mendebarkan sebelum menundukkan Ireland Utara ketika menuju baki 10 minit permainan, namun ketua pasukan skuad Oranje itu berasakan kemenangan 3-1 awal pagi tadi adalah wajar.


Belanda merampas kedudukan teratas Kumpulan C, kelayakan Euro 2020 dengan merakamkan kemenangan ke-17 di De Kuip biarpun pelawat sempat memberikan cabaran di Rotterdam sejurus pemain gantian, Josh Magennis, melonjak mengatasi Matthijs de Ligt untuk menanduk masuk jaringan ketika perlawanan bersisa 15 minit.

Bagimanapun, lima minit kemudian Memphis Depay menyamakan kedudukan sebelum Luuk de Jong meletakkan Belanda di depan dalam masa pemberhentian, disusuli gol ketiga daripada Depay untuk anak buah Ronald Koeman itu menguasai puncak kumpulan.

Belanda, Jerman dan Ireland Utara kesemuanya mengumpul 12 mata -- namun Belanda dan Jerman memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

"Kami terus memburu gol dengan sabar," kata Van Dijk kepada NOS.

"Kami bermain dengan lebih baik (selepas pintu gol dirobek) biarpun berdepan tekanan. Kami cuba mengekalkan ketenangan semua pemain kerana kami mempunyai deretan peluang.

"Lambat-laun ia akan berlaku, saya fikir kemenangan ini adalah wajar. Kami mendapat jaringan yang banyak akhirnya."

Belanda hanya mencipta satu percubaan tepat dalam babak pertama dan hampir gagal mengancam gawang yang dikawal Bailey Peacock-Farrell itu sebelum gol pembukaan Magennis, satu situasi yang menimbulkan kebimbangan pertahanan tengah itu.

"Kami bangkit selepas ketinggalan 0-1 dan kegugupan mula meresapi. Tetapi kami telah bertindak balas dengan baik," tambahnya.

"Kami mempunyai kualiti untuk tidak pernah berputus asa, lebih-lebih lagi lawan sering tidak memberikan ruang. Sudah tentu ini bukan permainan terbaik kami."

Ireland Utara akan menyambut kunjungan Belanda dan bertandang ke Jerman bulan depan, namun peluang mereka untuk melepasi pusingan akhir kelihatan tipis.

"Kami baru saja berkata bahawa kami tidak sepatutnya berasa rendah diri selepas perlawanan ini," kata Magennis kepada Sky Sports.

"Kami mencurahkan kudrat yang luar biasa ketika kehilangan bola. Kami sedar betapa sukarnya perlawanan ini.

"Kami tahu mereka akan mendapat peluang, malangnya kami dibolosi tiga kali malam ini.

"Ia satu kenyataan pahit untuk ditelan."