Ilkay Gundogan bakal terlepas perlawanan kelayakan Euro 2020 bersama Jerman untuk menghadapi Ireland Utara akibat masalah kesihatan.

Pemain Manchester City itu akan kembali ke kelabnya dan terlepas untuk bertandang ke Belfast tatkala tuan rumah berusaha mengekalkan pendahuluan dalam Kumpulan C, awal pagi esok.

Jerman melalui laman Twitter mendedahkan perancang itu dilanda demam selesema dengan ucapan: "Semoga cepat sembuh, Ilkay!"

Gundogan tampil sebagai pemain gantian dalam babak kedua ketika juara dunia empat kali itu tumbang 2-4 kepada Belanda, Sabtu lalu, yang menyebabkan mereka tercicir tiga mata di belakang Ireland Utara.

Keadaannya akan dipantau oleh kelab Inggeris berkenaan, yang akan bertandang ke Carrow Road, untuk menghadapi Norwich City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad ini.

Musim ini, pemain berusia 28 tahun itu sudah beraksi dalam empat perlawanan liga buat pasukan kendalian Pep Guardiola itu yang menyaksikannya tampil dalam skuad utama ketika seri 2-2 dengan Tottenham selain ketika melakar kemenangan 3-1 di Bournemouth.