Jurulatih Belgium, Roberto Martinez, berkata ini adalah kali pertama dia melihat Romelu Lukaku "bebas dan bahagia" tatkala beliau melahirkan sokongan terhadap bintang Inter itu untuk memimpin kelab dan negaranya.

Lukaku menjadi pemain termahal kelab Itali itu apabila disambar daripada Manchester United bulan lalu dengan bayaran yang difahamkan mampu melonjak sehingga €80 juta (RM368.7j).

Pemain berusia 26 tahun itu, yang memperkuatkan United selama dua musim selepas berpindah daripada Everton sebelum menuju ke Milan, telah menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan pertamanya untuk gergasi Serie A itu.

Bercakap menjelang aksi Kumpulan I, kelayakan Euro 2020 menentang Scotland di Glasgow awal pagi esok, Martinez memuji penggempur berkenaan.

"Ini adalah kali pertama saya melihatnya bebas dan gembira. Dalam kem latihan kebangsaan sebelum ini, saya tidak pernah melihat dia begitu fokus, gembira dan segar dengan cabaran baru," kata Martinez kepada wartawan.

"Saya fikir dia kini bersedia untuk menghadapi salah satu bab terbesar dalam kerjayanya dengan langkah ke Inter Milan dan dia begitu bersemangat untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan, jadi saya sangat kagum dengan kebahagiaannya dan cara dia menantikan (cabaran) bola sepak di hadapannya.

"Romelu merupakan salah seorang pemain bola sepak moden kerana dia dilahirkan dengan perhatian, dengan media sudah mula mengikuti perkembangannya sejak usia 16 tahun lagi di Belgium -- media sentiasa mengikuti dan memantau apa yang dilakukannya.

"Dia berada dalam sebuah pasukan dengan harapan untuk menang di Anderlecht susulan penyertaan dalam Liga Juara-Juara.

"Kemudian, dia terlibat dengan perpindahan lumayan ke Chelsea. Seperti yang anda ketahui, dia menyerlah di West Brom, maka dia (sekali lagi) terlibat dengan perpindahan besar ke Everton, diikuti ke Manchester United. Sekarang ini pula ke Inter.

"Romelu tidak terpengaruh (dengan semua itu). Dia adalah seorang budak lelaki yang paling bersemangat yang anda pernah jumpa. Hidupnya adalah tentang bola sepak, dia hanya hidup untuk menjaringkan gol dan memberi kesan kepada pasukan kebangsaan dan di peringkat kelab."