SCOTLAND 1 RUSSIA 2

Steve Clarke mengatakan Scotland telah meletakkan diri mereka di kedudukan yang menyaksikan mereka kini harus menewaskan Belgium untuk berpeluang meraih kelayakan automatik dalam kempen Euro 2020.


Jaringan sendiri Stephen O'Connell akhirnya menyerahkan kemenangan 1-2 kepada Russia di Hampden Park dan cara kekalahan awal pagi tadi itu mengecewakan jurulatih Scotland, Clarke.

Jaringan antarabangsa pertama oleh John McGinn membolehkan Scotland untuk memimpin perlawanan, namun tuan rumah melepaskan kedudukan pendahuluan itu apabila Artem Dzyuba menyudahkan peluang yang terhidang ketika Russia menguasai babak kedua.

Scotland kini mengumpul enam mata daripada lima perlawanan Kumpulan I, setengah daripada jumlah yang dikumpulkan seteru yang berada di tempat kedua itu sementara dipisahkan sembilan mata dengan pendahulu kumpulan, Belgium, yang akan berkunjung ke Glasgow, awal pagi Selasa ini, dalam pertembungan yang digariskan Clarke sebagai misi wajib menang.

"Selepas membuat permulaan yang baik untuk mendahului, kemudian (perjalanan) kami seperti tersekat," kata Clarke kepada Sky Sports.

"Kami seolah-olah tidak percaya bahawa kami sedang mendahului. Kami tidak lagi berjuang tinggi dan menyerahkan momentum kepada Russia.

"Saya tidak pasti mengapa. Kami kelihatan seolah-olah sedikit panik, mula terperangkap dengan gerakan lawan selain gugup ketika menguasai bola. Kegelisahan itu turut menyerap penyokong kami sendiri.

"Sekiranya anda mahu layak, maka anda perlu menghadapi perlawanan besar seperti ini. Ini adalah malamnya kami perlu menyerlah. Ia kemudian hilang daripada genggaman kami."

Tambahnya: "Saya perlu memastikan pemain muda dalam keadaan positif. Kami perlu melihat pertembungan dengan Belgium sebagai perlawanan yang wajib menang. Itulah senario yang kami akan cuba jelmakan."

Ketua pasukan Scotland, Andrew Robertson, turut menyuarakan sentimen Clarke itu dan pertahanan Liverpool itu memberitahu Sky Sports: "Jaringan (awal) itu seolah-olah menakutkan kami dan saya tidak pernah melihat sesuatu seperti itu sebelum ini.

"Sekiranya kami memimpin permainan, ia seharusnya menjadi positif, bukannya negatif. Saya berasa jelik dengan segala-galanya, termasuk persembahan sendiri, tentang apa yang saya lakukan di sana dan pemain lain.

"Saya tidak fikir sesiapa pun wajar mendapat markah (yang boleh dipuji), mungkin buat David Marshall sahaja atas beberapa aksi menyelamatnya. Dia tidak dapat berbuat apa-apa tentang gol yang dibolosinya.

"10 pemain lagi gagal menjelmakan prestasi sebenar, itu sebabnya perlawanan ini berakhir dengan keputusan seperti ini.

"Saya tidak fikir Russia beraksi dengan rentak terbaik, malangnya kami lebih buruk."