Gareth Southgate gembira dengan kemajuan prestasi yang dipamerkan barisan pemain muda England dan menegaskan bahawa fungsi mereka dalam skuad itu bukanlah sebagai "kertas penghias dinding" semata-mata.

Mason Mount muncul pemain muda terbaru yang membuat penampilan sulung di peringkat antarabangsa dalam skuad bimbingan Southgate itu ketika menang 4-0 ke atas Bulgaria dalam kempen kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi.

Dia menyertai pemain berusia 19 tahun, Jadon Sancho, yang membuat penampilan pertamanya Oktober lalu, sementara pemain muda West Ham, Declan Rice, turut diberi peluang dalam kesebelasan utama untuk memperkuatkan bahagian tengah dalam penampilan keempatnya.

Begitupun, bekas pemain tengah dan pertahanan kebangsaan itu menegaskan penyenaraian pemain muda bukanlah sebagai watak sokongan semta-mata selain percaya pemain generasi akan datang England sudah bersedia untuk memberikan saingan sengit kepada tonggak utama pasukan yang puratanya berusia dalam linkungan 25 tahun.

"Saya fikir perkara paling mustahak untuk diperkatakan ialah mereka bukannya kertas penghias dinding semata-mata. Mereka disenaraikan kerana mereka sememangnya berhak," katanya dalam sidang akhbar selepas pasukannya melanjutkan rekod sempurna Kumpulan A itu.

"Mason sudah membuktikan keupayaannya bersama kelab musim ini, kemudian ia dilanjutkan dalam latihan minggu ini dan ketika dia dimasukkan dalam perlawanan tadi -- dia menjadi ancaman dalam perebutan kesebelasan utama.

"Ia satu perkembangan yang sangat menggalakkan bagi kami.

"Kami sedar ramai pemain-pemain ini bakal mencapai kemuncak prestasi mereka dalam tempoh mungkin tiga, empat atau lima musim lagi.

"Kami perlu mendapatkan keseimbangan yang betul, terus memenangi perlawanan dan membawa masuk pemain-pemain tersebut pada masa yang tepat.

"Bagaimanapun, peminat Inggeris seharusnya sangat teruja apabila melihat pemain sepertinya dan Sancho diturunkan lalu memberi impak. Kami gemar untuk bekerjasama dengan mereka.

"Ia bukan hanya berkenaan mentaliti yang baik memandangkan mereka berbakat besar. Mereka mahu menjadi lebih baik lagi dan segalanya terpulang kepada mereka sendiri untuk melihat sejauh mana tahap yang boleh dicapai."

Kyle Walker merupakan tonggak yang kerap dipertaruhkan Southgate tetapi pertahanan Manchester City berkenaan gagal menempatkan diri dalam panggilan antarabangsa terbaru ini manakala Aaron Wan-Bissaka dan Jesse Lingard pula terpaksa diketepikan (akibat isu kecergasan).

John Stones turut tersisih, justeru jurulatih tersebut sedar beliau bakal berdepan dilema menuju Euro 2020 sekiranya skuad The Three Lions layak ke pusingan akhir.

"Daripada segi pasukan dalam Euro 2020, sukar untuk mengatakannya. Ramai pemain kami masih mentah dan baru diturunkan beberapa kali sahaja tetapi ada yang berkembang dengan pesat," katanya lagi.

"Apa yang menariknya, kami mempunyai persaingan yang tulen untuk merebut tempat. Kami mempunyai empat atau lima pemain yang dijangka akan berada dalam kesebelasan utama tetapi sangat sukar untuk menentukan pilihan di sesetengah posisi.

"Dalam kempen Piala Dunia yang lalu, dalam tempoh September hingga Oktober, Kieran Trippier hanya pernah beraksi sekali, mungkin Jordan Pickford juga dalam situasi itu sementara Harry Maguire langsung tidak pernah dipertaruhkan.

"Namun, mereka bertiga telah membawa England ke separuh akhir dan mereka tampil memberangsangkan dalam kempen itu, jadi kami akan sentiasa bersikap terbuka."