JERMAN 2 BELANDA 4

Joachim Low mengkritik ketidakupayaan Jerman untuk menuruti perancangan taktikalnya ketika tunduk 2-4 kepada Belanda dalam perlawanan kelayakan Euro 2020 di laman sendiri, awal pagi tadi.


Gol lewat permainan daripada muka baru, Donyell Malen, disusuli jaringan Georginio Wijnaldum menutup pertembungan klasik di Volksparkstadion, Hamburg itu untuk skuad asuhan Ronald Koeman itu membalas dendam tewas 2-3 kepada lawan yang sama di tempat sendiri, Mac lalu yang menyaksikan Nico Schulz mencetak gol kemenangan pada minit ke-90.

Serge Gnabry terlebih dahulu membuka tirai jaringan disusuli ledakan Frenkie de Jong dan gol sendiri Jonathan Tah untuk mengubah kedudukan perlawanan kepada 2-1 buat Belanda sebelum Tony Kroos menyempurnakan kedudukan kepada 2-2.

Kemenangan itu meningkatkan harapan skuad Oranje untuk layak ke pusingan akhir tahun depan selepas meraih enam mata daripada tiga perlawanan Kumpulan C, namun mereka kekal tiga mata di belakang Jerman manakala enam mata tercicir dengan pendahulu, Ireland Utara.

Low berang dengan aksi babak kedua oleh anak buahnya, yang bakal bertandang ke Windsor Park di Belfast awal pagi Selasa ini, apabila dibolosi empat gol.

"Saya kecewa, kami bermain di bawah kemampuan teknikal sebenar," katanya kepada RTL.

"Walaupun mendahului 1-0, kami tidak pernah berasakan bahawa kami menguasai permainan. Kami terlalu kerap kehilangan bola.

"Perancangan kami adalah untuk menguasai bola. Kami sering terpaksa menghambat mereka dalam separuh masa pertama.

"Begitupun, Belanda menjadi lebih ampuh dalam babak kedua dan kami tidak dapat membebaskan diri. Belanda dapat mengatur perlawanan, kami pula menggunakan hantaran jauh.

"Kami gagal menterjemahkan apa yang dimahukan."

Jerman hanya mempunyai 39.2 peratus penguasaan bola menuju waktu rehat dan walaupun mengubah keadaan itu dengan meningkatkannya kepada 59.5 peratus dalam baki babak, mereka sering dihukum dengan serangan balas.

"Kami gagal bermain dengan baik dalam babak pertama dan hanya sedikit dapat mengawal rentak permainan," katanya. "Ia bukanlah rentak sebenar kami untuk gagal mendominasi.

"Kami beraksi buruk hari ini, kami perlu belajar dan beraksi dengan lebih baik lagi di Ireland Utara. Kami benar-benar mahu memenangi perlawanan hari ini dan kami melaksanakannya dengan begitu teruk sekali."