Ronald Koeman tabik kepada skuad Belanda kerana berdaya tahan dalam kemenangan 4-2 ke atas Jerman dalam aksi kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi.

Pasukan Oranje itu muncul pemenang dalam perlawanan mendebarkan itu untuk menyalakan harapan mereka ke pusingan akhir biarpun ia bukan tugasan yang mudah di Hamburg.

Gol seawal minit kesembilan daripada Serge Gnabry memberi kelebihan kepada tuan rumah dalam tempoh sejam permainan, namun jaringan Frenkie de Jong dan gol sendiri Jonathan Tah meletakkan Belanda di depan.

Toni Kroos kemudian menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti, namun Belanda ternyata lebih berhak untuk mengungguli Die Mannschaft menerusi gol Donyell Malen dalam penampilan pertama di pentas antarabangsa sebelum jaringan lewat Georginio Wijnaldum mengesahkan kemenangan mereka.

Skuad Oranje itu kini mengumpul enam mata dalam Kumpulan C, namun dipisahkan enam mata dengan Ireland Utara yang telah beraksi lebih satu perlawanan.

"Barisan pemain saya telah melakukan yang terbaik untuk memenangi perlawanan ini," kata jurulatih pelawat itu.

"Jerman juga mempunyai beberapa peluang yang baik tetapi saya mendapati Jerman hanya menunggu peluang.

"Kami bermain untuk memenangi perlawanan ini berbanding lawan. Kami terus bersabar dan tatkala Jerman mempunyai dua peluang yang baik selepas rehat, mereka mungkin menjadi sedikit keletihan untuk menutup ruang.

"Dalam babak pertama, kami tidak begitu berbahaya tetapi kami mengatur permainan dengan lebih baik dalam separuh masa kedua.

"Kami mempunyai daya tahan, itu sesuatu yang hebat buat pasukan ini. Kami mempunyai kepercayaan dan tenang."

Belanda akan menyambung aksi dengan Estonia, awal pagi Selasa ini manakala Ireland Utara dan Jerman -- dua pasukan teratas kumpulan -- akan menghadapi satu sama lain.