JERMAN 6 IRELAND UTARA 1

Serge Gnabry menjaringkan hatrik ketika Jerman membelasah Ireland Utara 6-1 di Frankfurt awal pagi tadi untuk muncul juara Kumpulan C, pusingan kelayakan Euro 2020.


Michael Smith terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah dengan menjaringkan gol pembukaan buat Ireland Utara, namun Jerman bangkit dengan bergaya dengan Leon Goretzka turut menjaringkan gol berganda sebelum Julian Brandt menamatkan perlawanan itu dengan jaringan dalam waktu kecederaan.

Tiga gol itu menyaksikan Gnabry kini telah mengumpulkan 14 gol buat kelab dan skuad kebangsaannya sepanjang musim ini.

Keputusan itu juga bermakna, Ireland Utara, yang menamatkan saingan di kedudukan ketiga, akan berdepan Bosnia-Herzegovina dalam separuh akhir pusingan playoff di tempat lawan Mac depan.

Pemenang dalam perlawanan itu akan berdepan sama ada Republik Ireland atau Slovakia.

Jerman dikejutkan pada minit ketujuh selepas hantaran lintang George Saville ditanduk ke belakang oleh Toni Kroos sebelum Smith menyudahkannya dengan sepakan leret ke penjuru kiri bawah gawang Marc-Andre ter Stegen.

Jerman hampir menyamakan kedudukan lima minit kemudian, namun percubaan Ilkay Gundogan sekadar menggegarkan tiang gol.

Gnabry kemudian memecahkan kebuntuan buat Jerman dengan mengawal kemas bola daripada hantaran Jonas Hector sebelum melepaskan rembatan tepat dari jarak 12 ela.

Hector terus menjadi pencetus jaringan untuk Jerman mengubah nasib mereka dalam perlawanan babak pertama.

Sepakan lintangnya terbias ke badan beberapa pertahanan lawan sebelum Goretzka, yang bertindak pantas selepas menghidu situasi itu, melakukan sentuhan yang mencukupi untuk mengatasi penjaga gol, Bailey Peacock-Farrell.

Dua minit selepas perlawanan bersambung, Jerman memperoleh gol ketiga selepas hantaran Lukas Klostermann menemui Gnabry, yang sekali lagi melakukan penyudah jarak jauh.

Gnabry kemudian meraikan hatriknya selepas sejam perlawanan dengan menewaskan Tom Flanagan sebelum melakukan sepakan leret ke gawang gol.

Jerman menambah gol menerusi Goretzka pada minit ke-72 sebelum Brandt turut menempa nama selaku penjaring pada lewat permainan.