Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, tidak memberi jaminan akan menggunakan formasi 4-3-3 sebagai sebahagian daripada DNA yang dilancarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Julai lalu.

Skuad kendaliannya itu akan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi persahabatan di Dubai sebelum memulakan kempen pusingan kelayakan Kejohanan AFC di Kemboja bulan depan.

Formasi yang digunakan Maloney dalam Kejohanan AFF B-19 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, Ogos lalu mencetuskan ketidakpuasan hati Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, turut mengharapkan ada perubahan dan pembaharuan daripada skuad Maloney itu agar seiring dengan falsafah yang ditetapkan badan induk berkenaan.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Australia itu menegaskan setiap pendekatan dan formasi yang akan digunakan bergantung kepada keperluan pasukan dan siapa lawan yang akan dihadapi mereka.

"Kami akan kekal dengan prinsip permainan kami, ia tidak akan berubah.

"Ia tentang memberikan masa untuk pemain menyesuaikan diri dengannya.

"Itulah yang akan kami lakukan dalam mempersiapkan pasukan sepanjang beberapa minggu ini," katanya.