Kegagalan dua pasukan peringkat umur negara untuk ke pentas Asia tidak mencetus kebimbangan buat ketua jurulatih skuad B-19 tahun kebangsaan, Brad Maloney, dalam memenuhi aspirasi peminat bola sepak tanah air yang dahagakan kejayaan bermakna daripada bakat muda Harimau Malaya.

Mac lalu, skuad B-22 negara, yang dikendalikan Datuk Ong Kim Swee, gagal ke saingan utama Kejohanan AFC B-23 2020.

Skuad B-15 tahun juga berdepan duka sama apabila terlepas tiket ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-16 2020 baru-baru ini.

Justeru, skuad kendalian Maloney itu dilihat sebagai peluang terakhir untuk Malaysia memiliki wakil di peringkat Asia dalam ketagori bawah umur.

"Sentiasa ada tekanan untuk berjaya di peringkat kelayakan.

"Kunci utama buat pasukan ini adalah prestasi dan saya pasti kami memiliki skuad yang kompetitif.

"Saya yakin dengan keupayaan mereka dalam kejohanan ini," katanya.

Maloney turut menegaskan kepentingan untuk mengingatkan anak-anak buahnya supaya kekal fokus dalam pemburuan tempat ke Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan tahun depan.

Kejayaan menamatkan Kejohanan B-18 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam selaku naib juara bulan lalu menyaksikan ada dalam kalangan pemainnya yang disunting pasukan dari luar negara.

"Saya fikir setiap pemain perlu berpijak di bumi nyata.

"Sudah pasti ia pengalaman yang hebat jika mereka dapat ke luar negara dan berlatih bersama kelab yang berbeza di sana.

"Tetapi fokus mereka perlu bersama skuad negara bagi menghadapi Kejohanan AFC," tambahnya.

Malaysia akan memulakan kempen pusingan kelayakan di Kemboja dengan menentang pasukan tuan rumah, Rabu ini sebelum bertemu Brunei, Kepulauan Mariana Utara dan Thailand.