"Kami tidak gagal".

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal, mempertahankan kegagalan skuad B-15 negara dalam kelayakan Kejohanan AFC B-16 walaupun ia menyebabkan satu lagi sasaran Peta Hala Tuju F:30 badan induk itu tidak tercapai.

FAM menjadikan Piala Dunia B-17 2021 sebagai salah satu sasaran utama dalam Peta Hala Tuju F:30.

Selepas menjuarai Kejohanan AFF B-15, Kejohanan Kelab Jockey, Kejohanan Antarabangsa CFA tahun ini, misi utama itu bagaimanapun gagal direalisasikan anak buah P. Maniam apabila gagal meraih tiket pusingan akhir edisi 2020 selepas terkandas di peringkat kumpulan kempen kelayakan di Vientiane, Laos, kelmarin.

Ia sekali gus menyaksikan sasaran kedua F:30 yang ditetapkan FAM tidak terlaksana selain kegagalan skuad B-23 negara ke pusingan akhir Kejohanan AFC 2020.

"Janganlah kata gagal, itu saya tidak boleh terima.

"Bagi kami di FAM, pencapaian itu tidak gagal.

"Kami amat teruja apabila melihat pasukan Malaysia mampu bersaing dengan Jepun yang merupakan pasukan gergasi," katanya ketika ditemui dalam program Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) di Akademi Merah Kuning, Shah Alam, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM itu, bagaimanapun, menegaskan kedudukan Maniam sebagai ketua jurulatih tidak akan terjejas.

"Kami gembira dengan barisan kejurulatihan yang diketuai Maniam dan bahagian pengurusan, khususnya Datuk S Sivasundaram, kerana ia bukan mengenai kemenangan semata-mata.

"Mereka sudah melakukan tugas dengan baik," katanya.

Untuk rekod, skuad B-15 negara telah mengharungi 20 perlawanan dan menang 15 daripadanya.