Kelantan United sudah tidak sabar untuk merobek gawang Selangor II menjelang pertembungan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Menerusi laporan wartawan Astro Arena, Adam Zamri, tumpuan khusus petang esok akan diberikan kepada penggempur utama lawan, George Attram, yang kini mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Perdana.

Keyakinan itu disuarakannya bersandarkan kepada kejayaan Kelantan United mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) II seri tanpa jaringan di Kota Bharu, kelmarin.

Biarpun rekod perlawanan Kelantan United di tempat lawan tidak memberangsangkan berbanding di laman sendiri, ia bukanlah faktor utama penentu untuk hari saingan.

"Semua pemain sudah bersedia.

"Tiada bezanya perlawanan di tempat lawan dan sendiri.

"Semua pemain sedia menuruti arahan ketua jurulatih, Akira Higashiyama.

"Kami percaya perlawanan petang esok akan memihak kami," kata pertahanan Kelantan United, Fitri Omar.


WE GO AGAIN! ❤️? Selangor 2 kembali berentap untuk merebut kesemua tiga mata menentang Kelantan United FC di Stadium MP...

Posted by Selangor FC on Thursday, March 18, 2021


Barisan pemain kelab dari Pantai Timur itu juga sedar dengan rangkaian serangan Selangor II yang cukup berkesan setakat ini, dengan secara keseluruhan sudah pun meledak lapan gol daripada tiga perlawanan.

Lima daripadanya adalah hasil sumbangan George Attram yang disifatkan cukup berbisa di depan gawang.

"Dia bukan satu masalah buat rakan sepasukan walaupun dengan reputasinya sebagai penjaring terbanyak.

"Kami mampu merantainya, kami memerlukan kerjasama sepasukan dalam setiap perlawanan.

"Bagi saya tiada masalah, " tambahnya.