PKNS FC 1 KELANTAN 0

Kelantan terus tertekan berada dalam kelompok bawah apabila tewas 1-0 di tangan PKNS FC dalam satu-satunya perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.


PKNS lebih menguasai pada awal permainan dengan banyak mengatur gerakan berbahaya ke arah kawasan lawan dan beberapa kali memperoleh peluang.

Pada mimit ke-21, kelab bimbingan Datuk K. Rajabobal itu boleh mendahului perlawanan ketika Mahali Jasuli mempunyai peluang baik di dalam kotak penalti, namun penyudahannya melewati palang.

Selepas itu, Mohd Badhri Mohd Radzi membuat hantaran jauh tepat ke arah Ferdinand Sinaga, namun pemain kelahiran Indonesia itu dikepung sebelum dia tepaksa melorongkan bola semula untuk Badhri merembat deras yang akhirnya jauh melepasi palang.

Bruno da Silva Lopes sekurang-kurangnya tiga kali mudah kehilangan bola di kawasan tengah dan turut gagal membuat beberapa hantaran tepat walaupun tidak dicabar mana-mana pemain dalam setengah jam pertama.

Gerakan menarik daripada PKNS pada minit ke-40 membawa kepada tandukan deras Muhammad Faris Ramli yang kemudian ditampan oleh Khairul Fahmi Che Mat tetapi rembatan susulannya ke arah kanan gawang membuahkan hasil untuk tuan rumah mendahului.

Mohammed Ghaddar seterusnya nyaris-nyaris mengikat kedudukan apabila dia sempat menanduk ketika sudah mendekati Mohd Shahril Sa'ari tetapi penjaga gol lawan itu berjaya melompat dan membuat sentuhan penting bagi menyelamatkan gawangnya.

Kelantan memberi lebih tekanan dalam separuh masa kedua, namun kerap kali serangan balas dilakukan PKNS hampir menghukum mereka.

Rafael Ramazotti hampir menambah kelebihan PKNS apabila melakukan sepakan gunting yang tepat menuju ke arah Khairul Fahmi pada minit ke-53.

Barisan pertahanan PKNS kekal utuh dengan asakan Kelantan yang kurang kreatif dan banyak melakukan kesilapan ketika melakukan hantaran.

Pada hujung perlawanan, Kelantan sepatutnya meraih dua sepakan penalti apabila bola terkena pemain lawan dan Nor Farhan Muhammad juga dijatuhkan di dalam kotak penalti. Bagaimanapun, pengadil tidak menghiraukan rayuan mereka.

Ketika perlawanan memasuki masa tambahan, Kelantan dihadiahkan sepakan percuma hampir dengan kotak penalti tetapi sepakan Do Dong-Hyun terkena benteng lawan, segali gus menamatkan saingan 1-0 berpihak kepada PKNS.

Keputusan Liga Perdana:

Felda United 1 Kuantan FA 0
Pulau Pinang 2 Johor Darul Ta'zim II 0
Sarawak 2 PDRM 1