Khabar gembira buat penyokong Kelantan apabila pasukan gergasi Pantai Timur itu dikhabarkan akan menyambut kehadiran pemilik baru tidak lama lagi.

Kesanggupan syarikat anak watan, Zamburger, untuk menjadi penaja utama pasukan itu diharapkan dapat menamatkan zaman kejatuhan skuad The Red Warriors berkenaan yang sebelum ini seperti tidak berpenghujung.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman, perbincangan itu sedang melalui fasa akhir dan hanya perlu memutlakkan prosedur pembayaran itu sebaik perjanjian berkenaan dimeterai.

Jumlah penajaan itu masih dirahsiakan tetapi ia difahamkan turut melibatkan pembayaran hutang lapuk, termasuk gaji tertunggak pemain dan jurulatih.

"Mereka sudah bersetuju dengan harga yang kami tawarkan, itu sahaja," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

"Cuma daripada segi (cara) pembayaran itu yang kami masih perlu selesaikan (perbincangan).

"Hari ini, kami akan menentukan apa keperluan yang diperlukan dan akan memutlakkannya esok," katanya.

Satu pengumuman rasmi akan dibuat di Kota Bharu pada Jumaat ini.

Dengan kemasukan penaja utama itu, ia sekali gus akan memudahkan proses penswataan pasukan berkenaan menjelang tarikh akhir pada 30 September ini.

"Apabila Kelantan FA diswastakan, ia akan menjadi Kelantan FC.

"Kelantan FC itu akan dimiliki oleh TRW SDN BHD.

"Jadi, Zamburger akan membeli pegangan dalam TRW SDN BHD untuk memiliki Kelantan FC," katanya lagi.