Penghijrahan Alexander Isak ke Borussia Dortmund telah mengakibatkan kelab AIK Fotboll didenda EUR36,000.

Hukuman itu hadir selepas Persatuan Bola Sepak Sweden (SvFF) mendapati skuad dari Allsvenskan itu melanggar peraturan kerana menjadi 'orang tengah' dalam perpindahan pemain di bawah umur 18 tahun.

Isak yang ketika itu berusia 17 tahun, berpindah ke Dortmund dengan kontrak jangka panjang pada Januari lalu.

Yuran perpindahannya yang tidak didedahkan itu dikatakan telah memecah rekod perpindahan liga utama Sweden.

Dia juga sebelum ini dilaporkan sempat menolak lamaran Real Madrid.

Isak telah dibandingkan dengan ikon Sweden, Zlatan Ibrahimovic, dan telah membuat penampilan antarabangsa pertamanya, Januari lalu, ketika menentang Ivory Coast.

Dia kemudian menjadi penjaring gol termuda dalam sejarah Sweden apabila menyumbat gol ketika menentang Slovakia dalam aksi keduanya.