Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, memuji kekuatan mental yang dipamerkan anak buahnya ketika mencatat kemenangan berturut-turut 3-0 ke atas Arsenal dalam masa lima hari, awal pagi tadi.

Selepas menewaskan lawan sama untuk menjulang Piala EFL, Ahad lalu, City terus mendekatkan diri untuk meraih trofi kedua pada musim ini apabila mempamerkan aksi cemerlang di Emirates.

Jaringan daripada Bernardo Silva, David Silva dan Leroy Sane dalam babak pertama dilihat cukup untuk membunuh semangat tuan rumah, membolehkan mereka terus selesa dengan kelebihan 16 mata di puncak liga mengatasi pasukan tangga kedua, Manchester United.

Situasi itu juga membuatkan anak-anak buah Guardiola hanya memerlukan lima kemenangan lagi daripada baki 10 aksi untuk mengesahkan kejuaraan liga.

"Kami menunjukkan kekuatan mental. Kami mencatat tiga jaringan yang hebat," kata Guardiola kepada BBC Sport.

"Selepas itu, ia mula sukar. Dalam 15 minit awal di babak kedua, kami agak teruk tetapi kami meraih keputusan yang bagus pada hari ini.

"Kami sudah tersingkir daripada Piala FA tetapi telah menjulang Piala EFL. Kini, tinggal dua sahaja lagi trofi yang perlu dikejar dan anda bertarung untuk mendapatkannya dalam masa 10 bulan.

"Ini adalah langkah terakhir untuk bergelar juara. Pastikan momentum dikekalkan sehingga hujung musim. Kami perlu menang lima lagi aksi dan tidak begitu memikirkannya, selepas ini berdepan Chelsea.

"Diharapkan, kami sentiasa dahagakan kemenangan untuk bergelar pasukan terbaik di England dan lupakan kepenatan kami," tambahnya.