Stefano Pioli memuji peningkatan kekuatan mental Milan ketika mereka melepasi halangan di Spezia 2-1, malam tadi.

Daniel Maldini membuka tirai jaringan dalam kesebelasan Serie A pertamanya, 12 tahun dan 117 hari selepas penampilan terakhir ayahnya, Paolo, bersama Rossoneri sebelum Brahim Diaz memutlakkan kemenangan mereka sebaik sentuhan penyudah Daniele Verde mengimbangi kedudukan.

Pelawat tewas 0-2 dalam pertembungan musim lalu dan sebaik sentuhan berbisa kidal Verde melepasi jangkauan penjaga gol, Mike Maignan, nampaknya Milan seakan-akan pasti keciciran mata lagi.

Namun, ledakan Diaz terbukti cukup berharga untuk Milan mengumpul 16 mata selepas enam perlawanan buat kali ketiga, justeru Pioli gembira dengan tindak balas pasukannya ketika menghadapi kesukaran.

"Ini adalah satu kemenangan yang mustahak kerana kami beraksi dengan baik walaupun tidaklah terlalu bagus, dan keputusannya membuktikan kekuatan mental yang kami miliki," kata Pioli kepada DAZN dalam wawancara selepas perlawanan.

"Ini adalah skuad muda, tetapi mereka percaya kepada diri sendiri, termasuk pasukan dan pendekatan kami terhadap bola sepak. Kami tidak boleh mendabik dada tetapi mereka mampu menangani tekanan tertentu dan memenangi mana-mana perlawanan.

"Tekanan dan harapan telah meningkat di sekitar kami musim ini tetapi kami membuktikan bahawa kami mampu mengatasinya."





Daniel menjadi generasi ketiga Maldini yang menjaringkan gol untuk Rossoneri -- 13 tahun dan 179 hari selepas gol liga terakhir daripada Paolo dan 60 tahun dan 22 hari sejak jaringan terakhir datuknya, Cesare, untuk kelab.

Pioli memberikan permulaan pertama kepada Maldini dan Zlatan Ibrahimovic termasuk Tiemoue Bakayoko turut menyatakan kekaguman terhadap pemain muda itu.

"Yang penting Daniel Maldini berbakat," kata pengurus Milan itu.

"Dia memiliki teknik, visi permainan yang baik, tetapi harus lebih cepat dan intensif untuk melarikan diri daripada kawalan.

"Mehdi Bourabia sentiasa membayanginya jadi apa yang dia perlukan hanyalah beberapa meter lagi untuk melepaskan diri dari kawalannya dan membuka ruang itu."