Pengendali Selangor, P. Maniam, mahu barisan pertahanannya tampil lebih ampuh dalam aksi Liga Super berdepan Melaka United, esok.

Walaupun menang 2-0 dalam aksi pertama liga berdepan Pulau Pinang di Stadium Selayang, Maniam mengakui Melaka adalah lawan yang berbeza.

Justeru, Maniam akan memberi tumpuan kepada bahagian pertahanan sambil merangka strategi sesuai untuk menjerat lawan.

"Sambil kami merancang untuk melancarkan serangan bagi menghasilkan gol, kami perlu memberi fokus di bahagian pertahanan apabila bertemu Melaka kerana mereka adalah salah satu pencabar terkuat Liga Super musim ini," katanya.

Maniam turut berwaspada dengan kekuatan Melaka yang musim ini diperkuatkan bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor, Amri Yahyah.

Walaupun Melaka beraksi dalam Liga Perdana musim lalu, Maniam tetap menganggap mereka lawan sukar musim ini.

"Melaka salah sebuah pasukan terbaik. Jika dilihat, mereka berjaya muncul sebagai juara Liga Perdana musim lalu.

"Mereka sangat agresif dan mantap.

"Bukan mudah untuk bertemu mereka yang diperkuatkan dengan dua tenaga import di bahagian serangan sambil dibantu oleh Amri yang akan membuat umpanan kepada dua penyerang import itu.

"Sebab itulah kami perlu beri tumpuan di bahagian pertahanan."