Jurgen Klopp percaya kekecewaan yang dialami Liverpool di pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu menjadi titik perubahan kepada kecemerlangan pasukannya dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Liverpool bakal bertandang ke Manchester City awal pagi esok dengan harapan untuk menjarakkan kedudukan di puncak liga sebanyak 10 mata berbanding pasukan bimbingan Pep Guardiola itu.

Sewaktu menggantikan Brendan Rodgers selaku pengendali The Reds pada 2015, Klopp menyifatkan sejarah kegemilangan Liverpool menjadi penghalang pasukannya untuk berkembang dengan baik di pentas bola sepak moden.

Walaupun Real Madrid lebih unggul dengan kemenangan 3-1 dalam final di Kiev, Mei lalu, bekas pengurus Borussia Dortmund itu percaya penglibatan dalam aksi besar itu membuatkan Liverpool bersemangat untuk menjulang trofi liga yang kali terakhir diraih 29 tahun lalu.

"Saya rasa kami akhirnya melepasi beban itu apabila melangkah ke final Liga Juara-Juara," kata Klopp.

"Kami tidak menjuarainya tetapi 20 pasukan (18 pasukan dalam era Liga Juara-Juara) yang mara ke final, jadi kami melakukan sesuatu yang istimewa.

"Kami tidak menang tetapi perjalanannya sangat hebat dan sukar dipercayai. Sejak itu, segalanya berbeza."

Klopp berharap dapat melihat pemain yang pernah menikmati gelaran juara di dalam bilik persalinan tatkala James Milner kembali ke sesi latihan susulan kecederaan paha sebelum ini.

Bekas pemain England, Milner, menjulang trofi liga sewaktu bersama City bagi musim 2011/12 dan 2013/14.

"Pengalaman sentiasa bagus jika anda bijak menggunakannya," tambah Klopp.

"Saya tidak pasti jika Milner berkongsi cara untuk menangani situasi itu tetapi kesannya kepada pasukan sangat hebat.

"Jika seseorang pemain yang hilang kawalan atau sebagainya, saya tidak rasa ia berlaku jika Milner berada dalam bilik persalinan. Jika situasi itu berlaku, saya gembira kalau Milner ada di situ."