PORTUGAL 1 BELANDA 0

Pengendali Portugal, Fernando Santos, mendedahkan bagaimana pemainnya mengunci pergerakan Frenkie De Jong sebagai faktor kejayaan pasukannya dalam Liga Negara-Negara UEFA.


Tuan rumah perlawanan akhir edisi sulung Liga Negara-Negara itu meraih kemenangan 1-0 di Estadio Do Dragao awal pagi tadi setelah meraih gol tunggal perlawanan menerusi Goncalo Guedes.

Kemenangan itu menyaksikan kapten, Cristiano Ronaldo, menjulang trofi -- seperti apa yang dilakukannya ketika Euro 2016 -- sambil Santos mengesahkan reputasi selaku pengurus disegani di arena antarabangsa.

Pemain tengah, De Jong, yang bakal menyertai Barcelona daripada Ajax bagi musim 2019-20, disifatkan Santos sebagai pemain yang mampu mengawal rentak permainan buat Belanda, sesuatu yang pengendali itu tidak mahu hadapi.

"Kebiasaannya, De Jong akan beraksi di sebelah kiri berdekatan dengan Bruno Fernandes. Marten De Roon lebih dekat dengan William Carvalho," katanya.

"Kami sedar kualiti yang dimiliki tonggak tengah Belanda, terutama De Jong, selaku pencipta dengan potensi tinggi.

"Kami tahu jika kami tidak mengekang kebebasannya, kami akan merana. Pemain saya diarahkan untuk bermain bola setiap kali memegangnya dan seimbangkan benteng dengan memantau kebebasan yang mungkin boleh dimiliki De Jong serta Virgil Van Dijk."

Sewaktu mula diperkenalkan, saingan Liga Negara-Negara menimbulkan kegusaran banyak pihak tetapi Santos berasakan kejohanan itu berjaya dan wajar diteruskan walaupun dia tidak mahu mengambil kredit di atas kejayaan pasukannya.

"Ini adalah edisi pertama bagi kejohanan ini. Saya pasti ia akan menjadi sesuatu yang klasik," tambahnya.

"Seluruh keluarga Eropah beraksi dan untuk menjuarai edisi pertama, ia menyeronokkan. Ia akan dicatat dalam sejarah..

"Saya tidak mahu bercakap mengenai diri saya. Kerja saya adalah hasil bantuan orang lain, termasuk barisan wartawan serta peminat. Apa yang boleh saya ambil daripada tugas ini adalah kasih sayang yang saya raih dalam kehidupan harian."

Dan Santos berasakan kemenangan di laman sendiri akan meninggalkan legasi dalam sukan di negaranya.

"Ia akan memberi kesan kepada bola sepak Portugal apabila beraksi dalam final ini. Piala Dunia tidak berjalan seperti dirancang tetapi pasukan ini memiliki masa depan," ujar pengurus berusia 64 tahun itu.

"Masa depan ada di sini. Jika diimbas kembali 2016, kebanyakan pemain pasukan elit ketika itu sudah tiada di sini. Ini akan menjadi proses dan menyuarakan bagaimana bola sepak Portugal.

"Kami tidak memiliki kewangan mewah untuk mengekalkan pemain hebat di Portugal. Mereka berhijrah ke seluruh Eropah tetapi masa depan bola sepak Portugal terjamin," katanya.