Hasrat UKM FC mencetak kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC) II tidak kesampaian selepas tewas 2-4 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

TFC II sekali lagi menghancurkan hasrat UKM untuk memburu kemenangan.

Skuad Pantai Timur itu tidak kekok untuk mencipta penguasaan menerusi jaringan seawal minit ke-11.

Pemain import TFC II, Bruno Suzuki, cemerlang mencetak hatrik pada minit ke 11, 18 dan 23 untuk memimpin permainan dengan mudah.

The Varsity Boys cuba merapatkan kedudukan dengan jaringan Mateo Roskam seminit sebelum tamat aksi babak pertama.

TFC II sekali lagi menyumbat gol dan kali ini menerusi Ahmad Takiudin Roslan pada minit ke-59 sebelum Michael Ijezie tenang menyempurnakan jaringan kedua tuan rumah pada minit ke-83 tetapi ia sudah terlambat untuk menyekat TFC II untuk membawa pulang mata penuh.

"UKM merupakan pasukan yang lebih baik dalam perlawanan ini, cuma apa yang membezakan di antara kedua-dua pasukan, kami memanfaatkan peluang yang ada," jelas jurulatih TFC II, Tengku Hazman Raja Hassan.

Dalam masa sama, jurulatih tuan rumah, Sulaiman Hussin, menganggap kealpaan di barisan pertahanan menjejaskan rentak awal mereka.

"Kesilapan pertama kami adalah melepaskan gol awal dalam separuh masa pertama dan ia merupakan titik tolak kepada perlawanan ini.

"Yang kedua, kesilapan pertahanan melepaskan tiga gol itu sedikit-sebanyak menganggu hasrat kami untuk melakar kejutan," katanya.