Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, percaya pasukannya telah membuktikan kekalahan kepada Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) adalah satu "kejadian yang malang."

Kemenangan 2-1 ke atas Lyon, awal pagi tadi memastikan PSG melakar kemenangan kedua selepas mereka tersingkir daripada UCL ketika tewas 6-1 di Nou Camp.

Emery memuji pemain-pemainnya di atas persembahan yang memberangsangkan, dengan PSG kini sekadar ketinggalan tiga mata kepada pendahulu Ligue 1, Monaco.

"Selepas mengharungi permulaan yang sukar, kami berjaya bangkit selepas ketinggalan satu gol untuk memenangi perlawanan ini," kata Emery.

"Ini adalah kemenangan yang penting, kami akan terus mengejar Monaco.

"Kami masih lagi di dalam tiga kejohanan musim ini - Ligue 1, Coupe de la Ligue dan Coupe de France.

"Sejak Januari, kami telah memenangi 16 perlawanan, dua seri dan satu tewas kepada Barcelona.

"Kami membuktikan apa yang berlaku di Nou Camp adalah satu 'kejadian yang malang'".

Jaringan Adrien Rabiot dan Julian Draxler menyaksikan PSG bangkit menewaskan Lyon selepas mereka mendahului perlawanan menerusi gol Alexandre Lacazette.

FULL TIME: PSG get the job done at home with a 2-1 win over Lyon!!#PSGOL #ALLEZPARIS!!! pic.twitter.com/FiMRtG0vcE

— PSG English (@PSG_English) March 19, 2017