LENS 0 LILLE 3

Lille semakin terbayangkan gelaran Ligue 1 selepas meraih kemenangan 'derby' 3-0 di Lens, awal pagi tadi.


Keputusan itu -- kemenangan kelima dalam enam perlawanan liga terakhir -- menyaksikan mereka mendahului pencabar di tempat kedua, Paris Saint-Germain (PSG), dengan empat mata biarpun pasukan bimbingan Mauricio Pochettino itu berpeluang mengembalikan defisit berkenaan kepada satu mata jika menewaskan Rennes, awal pagi Isnin.

Sekiranya juara bertahan itu gagal, maka pasukan kendalian Christophe Galtier tersebut akan mengesahkan kejuaraan liga yang pertama sejak musim 2010-11 ketika berdepan Saint-Etienne pada 17 Mei kelak.

Burak Yilmaz meletakkan mereka di depan pada minit keempat dengan menyempurnakan sepakan penalti selepas Jonathan Bamba dikasari Seko Fofana.

Tuan rumah semakin merana susulan kad kuning kedua Clement Michelin pada minit ke-35, lantas Yilmaz menjaringkan gol keduanya lima minit kemudian hasil rembatan dari jarak 25 ela ke atas sudut kiri pintu gol lawan.

Jonathan David menokok gol ketiga untuk Lille meningkatkan tekanan terhadap PSG yang berhasrat mempertahankan tiga rentetan gelaran liga.