Daripada juara liga kepada sebuah kelab terdesak, begitulah nasib yang melanda Inter Milan.

Inter sedang dalam proses menyelamatkan diri mereka daripada belenggu hutang yang membebankan, sesuatu yang benar-benar bertentangan dengan kejayaan yang dikecapi musim lalu.

Semestinya perkara ini menimbulkan kemarahan peminat setia, dengan maruah mereka nyata tercalar.

Krisis kewangan yang melanda kelab ketika ini telah terlebih dahulu menyaksikan bekas ketua jurulatih, Antonio Conte, memilih untuk angkat bungkus.

Kini, nasib serupa bakal melanda pemain bintang mereka pula.

Kehilangan Conte memberikan impak yang besar, tidak kurang juga dengan perpindahan Achraf Hakimi ke PSG yang dijual dengan harga £60 juta (RM300 juta), tetapi kini ura-ura yang mengatakan penyerang utama, Romelu Lukaku, bakal turut dijual, pastinya sukar diterima penyokong.

Menurut akhbar Itali, La Gazzetta dello Sport serta Corriere dello Sport, Lukaku sedang diburu oleh bekas kelabnya sendiri, Chelsea.

Akhbar Sportsmail mendedahkan bahawa pada minggu lalu, Inter telah pun menolak bidaan permulaan setinggi £88 juta (RM439 juta) berserta dengan pemain bek kiri, Marcos Alonso, dari kelab London itu.

Kini, Inter menjangkakan bakal menerima tawaran baru setinggi £110 juta (RM550 juta) pula selepas Chelsea dikhabarkan kempunan dalam usaha mendapatkan Erling Haaland dari Borussia Dortmund.

Keinginan Chelsea untuk memperoleh Lukaku begitu tinggi sehinggakan pemilik kelab, Roman Abramovich, dilaporkan telah menghantar anak lelakinya ke Itali demi memujuk Lukaku untuk kembali semula ke Stamford Bridge, biarpun dia mengharungi satu musim yang cukup hambar sewaktu bersama mereka pada musim 2011-2012.

Pada musim tersebut, Lukaku mengakui bahawa dia kecewa dengan peranan yang dipertanggungjawabkan ke atasnya, di mana dia menghabiskan kebanyakan masa untuk beraksi bersama pasukan simpanan.

Sewaktu Chelsea menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2012, Lukaku dilaporkan enggan untuk menyentuh piala tersebut pun dan mengatakan, "Kelab saya yang menang, bukannya saya."

Biarpun Lukaku menegaskan bahawa dia cukup gembira dengan kehidupannya di bandaraya Milan ketika ini, dia juga cukup tersinggung dengan kerelaan Inter untuk menjualnya demi mendapatkan habuan besar.

Tokoh utama yang merancang penjualan Lukaku adalah sebenarnya pengerusi kelab Inter sendiri, Steven Zhang.

Zhang pernah cuba menjual Lukaku sejak awal tahun ini lagi, di mana Manchester City menjadi sasaran tawarannya ketika itu.

Malangnya, Lukaku sama sekali tidak ingin untuk kembali ke Manchester, sebuah bandaraya di mana dia mengharungi tempoh dua tahun yang cukup tidak menggembirakan sebelum berangkat ke Milan.

Penjualan Lukaku bukan sahaja mampu untuk menyelesaikan sebahagian besar hutang yang ditanggung oleh Inter, malah ia turut bakal menghentikan keperluan untuk menjual lebih ramai pemain ternama yang lain.





Laporan Gazzetta dello Sport menyatakan yang Lautaro Martinez adalah bakal 'mangsa' jualan seterusnya tetapi mungkin dia boleh diselamatkan jika Lukaku menjemput harga yang tinggi.

Satu-satunya berita baik buat Inter setakat ini adalah kejayaan mereka meraih khidmat Simone Inzaghi sebagai pengganti Conte.





Jurulatih berusia 45 tahun itu mencatatkan pencapaian memberangsangkan pada musim-musim sebelum ini bersama Lazio, di mana dia mengubah kelab tersebut daripada sekadar sebuah kelab kelas pertengahan kepada kelab yang layak untuk bersaing di pentas Eropah tanpa memerlukan sebarang perubahan drastik.

Aksi dalam kancah Serie A musim lalu cukup menarik dan sengit, dengan perebutan takhta antara Juventus, Milan, Atalanta, Napoli dan Lazio begitu getir sekali, namun Inter di bawah pimpinan Conte jelas sekali merupakan kelab terbaik.

Mungkinkah dominasi yang ditunjukkan musim lalu bakal tinggal sejarah sahaja akibat masalah yang mereka hadapi kini?