Pelumba kelahiran Perak, Nyo Ci Hui, memecahkan rekod remaja kebangsaan dalam acara kejar-mengejar individu, Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Dunia di Kaherah, Mesir semalam.

Ci Hui merekodkan catatan masa 2 minit 33.075s -- hampir 1 saat lebih pantas berbanding rekod lama yang sebelum ini dipegang Anis Amira Rosidi.

Pelumba berusia 17 tahun itu diletakkan sebagai antara prospek menggantikan jaguh kebangsaan, Jupha Somnet, yang sedang berusaha mendapatkan kembali prestasi terbaiknya selepas melahirkan anak pertamanya pada Jun lalu.

Ci Hui, yang menduduki tempat ke-11 dalam perlumbaan berkenaan, berkata kepada Nadi Arena: "Saya amat berpuas hati walaupun tidak memenangi pingat, perlumbaan ini amat bermakna buat saya.

"Ini merupakan kali pertama saya menyertai kejohanan terbesar di dunia seperti ini.

"Ia juga merupakan perlumbaan pertama saya sepanjang tahun ini," katanya.