BAYERN MUNICH 3 SCHALKE 1

Niko Kovac menyatakan kesukaran yang dilalui Bayern Munich dalam saingan DFB-Pokal sebelum ini menyulitkan kemenangan 3-1 pasukannya ke atas Schalke dan beranggapan kejohanan itu turut berkemungkinan menjadi punca keputusan seri yang dialami pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund, dengan Hoffenheim.


Gol daripada Robert Lewandowski dan Serge Gnabry serta jaringan sendiri Jeffrey Bruma memastikan kemenangan Bayern di Allianz Arena, awal pagi tadi, selepas mereka tewas 1-3 kepada Bayer Leverkusen minggu lalu.

Kemenangan itu tiba selepas mereka meraih kemenangan dalam masa tambahan ketika menewaskan Hertha Berlin dalam saingan DFB-Pokal empat hari lalu dan mereka kini hanya ketinggalan lima mata di belakang Dortmund.

Dortmund mensia-siakan kelebihan tiga gol mereka dalam 15 minit terakhir perlawanan untuk diikat 3-3 oleh Hoffenheim dan Kovac berasakan pendahulu liga itu terkesan dengan penyingkiran daripada DFB-pokal menerusi kekalahan dalam penentuan sepakan penalti kepada Werder Bremen.

"Kami beraksi baik sepanjang babak pertama dan sebahagian babak kedua.

"Ia mungkin berpunca daripada perlawanan DFB-Pokal lalu di mana kami menghabiskan 120 minit perlawanan, begitu juga dengan Dortmund.

"Anda tidak boleh membiarkan ia berlaku selepas memperoleh tiga gol pada minit ke-75 perlawanan.

"Ia adalah amaran, namun kami layak untuk menang dengan keputusan seperti itu," katanya.

Pengendali Schalke, Domenico Tedesco, beranggapan jaringan Gnabry pada minit ke-57 perlawanan memusnahkan peluang pasukannya ketika mereka sedang berusaha keras untuk menyamakan kedudukan.

"Selepas mengambil kira secara keseluruhan, kami sememangnya patut kalah.

"Kami gagal menutup bahagian sayap, khususnya pada awal permainan.

"Kami agak pasif. Kami mencuba untuk memberikan saingan selepas separuh masa, namun selepas bolos tiga gol, ia menyukarkan situasi kami.

"Malangnya, kami terlalu berhati-hati.

"Jika anda mahu melakukan sesuatu ke atas Munich, anda perlu bertahan dengan menyerang.

"Kami gagal untuk melakukannya," katanya.