JERMAN 1 PORTUGAL 0

Lukas Nmecha menjaringkan gol kemenangan buat Jerman ketika menewaskan Portugal 1-0 dalam final Kejohanan Eropah B-21 di Slovenia awal pagi tadi.

Penyerang Manchester City itu, yang menghabiskan musim 2020-21 secara pinjaman di keab Belgium, Anderlecht, menjaringkan gol tunggal perlawanan pada awal babak kedua bagi memastikan Jerman menjulang trofi kejohanan itu buat kali ketiga selepas edisi 2009 dan 2017.

Jaringan itu turut menobatkan Nmecha sebagai penjaring terbanyak kejohanan itu dengan empat gol.

Portugal, yang hanya menhasilkan satu percubaan tepat di Ljubljana, kini telah menamatkan kejohanan itu sebagai naib juara dalam tiga edisi.

Tiago Tomas melakukan percubaan yang tersasar pada awal pemainan sebelum pertahanan Manchester United, Diogo Dalot, dua kali mengancam kubu Jerman bagi menggambarkan permulaan baik Portugal.

Florian Wirtz, yang menjaringkan dua gol ketika menewaskan Belanda dalam separuh akhir, hampir memecahkan kebuntuan buat Jerman pada minit ke-15 apabila sepakannya yang terbias dari luar kotak penalti hinggap di palang gol.

Penjaga gol Portugal, Diogo Costa, kemudian terpaksa bertindak tangkas bagi menafikan usaha Nmecha dan Arne Maier, pada ketika Jerman semakin menemui rentak permainan.

Jerman memperoleh gol kemenangan pada minit ke-49 apabila Nmecha menemui hantaran cantik Ridle Baku sebelum mengatasi Costa dan menolak masuk ke gawang yang sudah tidak dikawal.