Selepas lapan pusingan pelumbaan maya yang mendebarkan, Kejohanan E1 Season Zero akhirnya menemui penamat epic di mana Naquib Azlan dan pasukannya, Stratos Motorsport, dinobatkan sebagai juara, masing-masing bagi kategori pemandu dan pasukan. Pelumba Malaysia berusia 21 tahun itu membawa pulang hadiah utama bernilai AS$5,000 (RM20,255) manakala naib juara, Ayman Aqeem, dan Mikko Nassi pula masing-masing menerima AS$4,000 (RM16,204) dan AS$3,000 (RM12,153).

Penamat musim itu berlangsung sengit di mana setiap pemandu perlu mempamerkan aksi terbaik mereka memandangkan perlumbaan itu menawarkan mata berganda. Ketika Ayman Aqeem menamatkan perlumbaan penutup itu dengan mata tertingg, Naquib Azlan dinobatkan juara selepas menamatkan kedua-dua pusingan di tempat pertama untuk menamatkan musim dengan kelebihan 67 mata.

Mikko Nassi, yang berada di kedudukan kedua sebelum perlumbaan itu, muncul pelumba di kedudukan teratas dalam sesi kelayakan tetapi menamatkan kedua-dua pusingan terakhir di tempat keenam dan tidak memperoleh cukup mata untuk mempertahankan kedudukan kedua. Dia menamatkan musimnya dengan ketinggalan 25 mata di belakang Ayman Aqeem.



Dianjurkan oleh saluran esukan Astro, eGG Network, dan Axle Sports milik bekas pelumba Formula 1 negara, Alex Yoong, Kejohanan E1 diwujudkan bagi menyediakan platform pelumbaan maya di rantau Asia Pasifik dan bersaing di peringkat tertinggi.