Pasangan kembar, Mohd Fakrullah dan Mohd Fakruddin Mohamad, bertekad mahu memastikan kenangan manis dalam aksi terakhir Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC 2017 dengan kemenangan hari ini.

Jika dalam arena bola sepak, pasangan kembar Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Radzak cukup dikenali di kalangan pencinta bola sepak tanah air, sukan bola sepak pantai juga memiliki kembar yang berpotensi.

Bezanya mereka tidak dikenali seperti Aidil dan Zafuan kerana bola sepak pantai hanyalah sukan terpinggir.

Bagaimanapun, kedua-dua anak jati Terengganu ini tidak mengharapkan perhatian seumpama itu, cuma ingin memastikan kejayaan pertama dan penutup termanis buat negara dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini.

"Kami mengharapkan yang terbaik untuk perlawanan terakhir. Ternyata kekalahan dua perlawanan awal adalah berdasarkan ceteknya pengalaman kami dalam sukan ini," kata Fakruddin.

Tegas mereka, aksi dengan China mampu disudahkan dengan keputusan yang memihak kepada negara selain turut merujuk kepada semangat tidak mahu mengalah yang ditampilkan pemain dalam tiga perlawanan terdahulu.

"Kami mengambil kejohanan kali ini untuk mendapatkan pengalaman dan kembali menjalani latihan selepas ini. Kami perlu meningkatkan kualiti kami untuk berdepan mereka," ujar Fakhrullah.

Ini merupakan penampilan kali kedua Fakhrullah dalam kejohanan bola sepak pantai manakala buat adiknya Fakruddin, ia merupakan aksi pertamanya di peringkat antarabangsa.