Dua aksi separuh akhir yang sengit di Phnom Penh, Kemboja menyaksikan juara Kejohanan AFF B-22 2019 bakal ditentukan di antara Thailand dan Indonesia.

Pertembungan separuh akhir di antara Vietnam dan Indonesia malam tadi membuktikan betapa sukarnya untuk beraksi di padang tiruan Stadium Nasional Phnom Penh.

Corak permainan kurang kemas membangkitkan ketegangan di antara kedua-dua pasukan itu yang akhirnya dipisahkan dengan hanya satu jaringan.

Luthfi Kamal meledak jaringan menerusi sepakan percuma untuk menewaskan penjaga gawang lawan, Phan Van Bieu, pada minit ke-70.

"Ini perlawanan yang sangat menarik dan Vietnam pula mempunyai kelebihan rehat lebih dua hari daripada kami.

"Tetapi kami bertindak balas dengan cepat. Saya akui kami tidak mempamerkan aksi terbaik tetapi kami menghasilkan gol yang diperlukan," ujar ketua jurulatih skuad B-22 Indonesia, Indra Sjafri.

Sementara itu, perebutan tiket final di antara Thailand dan tuan rumah, Kemboja, lebih sengit daripada yang dijangkakan.

Malah, ada beberapa ketika Kemboja hampir sahaja merekodkan kemenangan dalam masa 90 minit sebelum aksi diheret sehingga penentuan penalti.

Nasib bagaimanapun lebih memihak Thailand yang mara ke final dengan catatan 5-3.

"Kami bermain baik hari ini, cuma permainan kami agak longgar pada akhir 30 minit permainan.

"Sekiranya kami mempamerkan aksi lebih agresif, berkualiti dan bertenaga, kami mampu mencipta lebih banyak peluang.

"Apa yang penting, saya gembira kami dapat lolos," kata jurulatih Thailand, Alexandre Lima.

Tambah jurulatih Kemboja, Felix Dalmas: "Jangan lupa apa yang telah dicapai pasukan ini.

"Kami harus terus diberi sokongan untuk terus mempamerkan peningkatan."