Penyerang Terengganu FC (TFC) II, Izzan Syahmi Mustapa, bersedia untuk merebut slot 23 pemain ke Kejohanan AFF B-22 di Kemboja, 17 Februari ini selepas pulih daripada kecederaan betis.

Selepas digugurkan dalam aksi persahabatan di Bangkok bulan lalu, Izzan Syahmi kembali tersenarai untuk menyertai kem latihan pusat di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Pemain berusia 22 tahun itu berkata peluang kini terbuka buatnya dan pemain Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak, untuk mendapatkan tempat di bahagian serangan.

"Walaupun Hadi beraksi di Jepun, ia tidak bermakna saya tidak dapat bersaing untuk berada dalam kesebelasan utama.

"Saya akan memberikan yang terbaik memandangkan sudah dapat menyesuaikan diri dengan taktikal 3-4-3 yang diamalkan jurulatih," katanya.

Selain Izzan Syahmi dan Hadi, turut tersenarai ialah pemain sayap PKNS FC, Jafri Firdaus Chew, R. Kogileswaran, Faisal Abdul Halim (Pahang), Danial Amier Norhisham, Zahril Azri Zabri (Felda United), Nik Akif Syahiran Nik Mat, Nik Azli Nik Alias, Danial Haqim Draman (Kelantan), Mohd Fadzrul Danel (Kedah) dan pemain sayap Sabah, Ariusdius Jais.

Bahagian pertahanan pula dibarisi Syahmi Safari (Selangor), Ahmad Tasnim Fitri (Felda United), Shahrul Nizam Ros Hasni (Kelantan), Ariff Ar-Rasyid Ariffin (PKNS), R. Dinesh (Pahang), Evan Wencelaus (Sabah), Dominic Tan, Mohd Hariz Kamarudin (JDT), Amirul Ashraf Arifin (UiTM FC), Nazirul Afif Ibrahim (Perak) serta bek kiri Kuala Lumpur, Nabil Hakim Bokhari.

Muhammad Haziq Nadzli (JDT), Muhammad Azri Abdul Ghani (Felda United) dan Damien Lim Chien Khai (PKNS FC) pula akan merebut slot selaku penjaga gol negara.

Senarai 23 pemain terakhir akan dipilih untuk menggalas cabaran Malaysia berdepan tuan rumah, Kemboja (18 Februari), Indonesia (20 Februari) dan Myanmar (22 Februari).

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)