Bahagian tengah skuad B-22 tahun negara kendalian Datuk Ong Kim Swee terkesan apabila lima pemain tidak mendapat pelepasan pasukan menjelang kempen Kejohanan AFF B-22 di Kemboja bermula 17 Februari ini.

Antara yang tidak memperoleh pelepasan adalah dua pemain Felda United, Zahril Azri Zabri dan Muhammad Daniel Amier Norhisham.

Pemain serba boleh Selangor Syahmi Safari, Faisal Abdul Halim dan Fadzrul Daniel Mohd Nizam juga diikat majikan masing-masing, iaitu Pahang dan Kedah.

"Bahagian tengah agak merunsingkan kerana saya kehilangan Danial Amier, Zahril dan Fadzrul.

"Kini saya hanya mempunyai Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Muhammad Danial Haqim Draman di bahagian itu.

"Jadi saya perlu memikirkan pengganti mereka," katanya.

Secara keseluruhannya, seramai 21 daripada 26 pemain yang disenarai pendek akan melaporkan diri ke kem persiapan fasa akhir.

Pengganti kepada lima pemain itu menjadi antara agenda utama Kim Swee sebelum skuad negara ke Kemboja, Jumaat depan.

"Kalau berdasarkan angka (bilangan pemain), ia sebenarnya sudah mencukupi tetapi adakah kami ingin ke sana untuk angka semata-mata atau sesuatu yang lebih baik?

"Kejohanan AFF B-22 akan membuktikan kemampuan kita dan esok saya akan memanggil beberapa pemain lagi agar saya memiliki lebih banyak pilihan di setiap posisi sebelum kami berlepas ke Kemboja," katanya.