Pemain tengah skuad B-22 negara, Danial Hakim Draman, sukar membendung emosinya apabila akur kesilapannya memberi kesan kepada kekalahan Malaysia di tangan tuan rumah, Kemboja, dalam aksi pertama Kumpulan B, Kejohanan AFF B-22, malam tadi.

Pentas sudah terhidang buat Danial sebagai bakat muda daripada pasukan Liga Perdana, Kelantan, untuk membuktikan kewibawaan di Phnom Penh.

Ini berikutan ketiadaan rakan sepasukan dan pemain tengah utama, Nik Akif Syahiran Nik Mat,
yang memulakan aksi daripada bangku simpanan.

Danial sama sekali tidak menyangka kad kuning pertama yang dikutipnya sebelum tamat separuh masa pertama mengundang padah.

Ini kerana terjahannya pada minit ke-59 disusuli kad merah.

"Saya berasa kecewa kerana menerima kad merah sehingga tidak dapat membantu pasukan dan pada masa yang sama, saya agak terkilan dengan mutu pengadilan.

"Ini pengalaman berguna untuk saya bangkit dalam perlawanan seterusnya selain akan memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan prestasi," katanya.

Hukuman itu bakal menyaksikan khidmat Danial terpaksa diketepikan untuk pertembungan penting menentang Indonesia, esok.