Datuk Seri Azuddin Ahmad melihat sambutan positif Kejohanan AFF B-22 2019 menjadi pemangkin kepada inisiatif untuk menambah baik penganjuran edisi akan datang.

Edisi pertama kejohanan itu adalah pada 2005 di Thailand yang menyaksikan lapan pasukan bertanding manakala jumlah yang sama beraksi di Phnom Penh, Kemboja tahun ini susulan penarikan diri tiga pasukan, termasuk Singapura.

Ia bertujuan memberikan pasukan Asia Tenggara medan persiapan kompetitif sebelum aksi kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020 dan Azuddin selaku setiausaha agung AFF menegaskan penganjuran itu disifatkan sebagai sesuatu yang memberikan pulangan positif.

"Ada sebab mengapa kami menyemak semula kejohanan untuk bawah 22 tahun. Ia boleh memberi peluang kepada negara AFF untuk mengadakan persiapan kelayakan Kejohanan AFC, Mac depan. Malangnya, tiga pasukan tidak dapat mengambil bahagian," katanya.

"Secara keseluruhannya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persekutuan Bolasepak Kemboja (FFC) kerana telah menganjurkan kejohanan ini dengan jayanya. Kami harap ia dapat diteruskan pada masa akan datang."