Skuad kebangsaan perlu melupakan episod duka dalam Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, semalam dan memberi fokus sepenuhnya untuk menghadapi Pusingan Kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 2020 di Kemboja, November depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian naib juara yang diraih skuad negara dalam kejohanan di Vietnam itu dan menuntut pemain memberi fokus kepada pusingan kelayakan di Kemboja yang dijadualkan berlangsung pada 2-10 November depan.

"Kami tidak perlu menoleh ke belakang, sebaliknya terus maju ke hadapan dengan jadikan kesilapan kekalahan ini sebagai iktibar untuk perlawanan lain selepas ini.

"Tahniah dan terima kasih kepada pengendali, Brad Maloney, dan barisan kejurulatihannya, iaitu Khan Hung Meng dan Yong Wai Hwang serta pegawai-pegawai lain diketuai pengurus pasukan yang juga exco FAM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, yang turut sama bekerja keras sepanjang hampir dua minggu mereka berada di Vietnam," ujar Hamidin menerusi posting terbaru dalam laman Facebook FAM, hari ini.

Dalam aksi final di Stadium Thong Nhat, Vietnam semalam, pemain tengah, Lachlan Ricky Brook, meledak gol kemenangan untuk Australia pada minit ke-79, sekali gus memberi kejuaraan kelima untuk skuad The Joeys itu selepas muncul juara dalam empat edisi terdahulu -- 2006, 2008, 2010 dan 2016.

Malaysia diletakkan dengan Kumpulan G dengan Thailand, Brunei Darussalam, Northern Mariana Islands dan tuan rumah, Kemboja, dalam Pusingan Kelayakan Kejohanan B-19 AFC 2020.

Skuad muda negara akan memulakan kempen menentang Kemboja pada 2 November depan, Brunei Darussalam (6 November), Northern Mariana Islands (8 November), sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Thailand pada 10 November.

Berdasarkan format kejohanan, juara daripada setiap 11 kumpulan dan lima pasukan kedua terbaik layak ke pusingan akhir.

Bagaimanapun, AFC masih belum mengumumkan tuan rumah pusingan akhir kejohanan berkenaan.

-- BERNAMA

Kredit foto: FAM