Ketua jurulatih skuad B-15 negara, P. Maniam, menyenaraikan 21 pemain daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk menghadapi Kejohanan B-16 Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) di Stadium IPE, Chonburi, Thailand bermula akhir minggu ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan Maniam turut menyenaraikan pemain Sekolah Sukan Tunku Ismail (SSTMI), Muhammad Harry Danish Mohd Haizon, serta pelajar SMK Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu, Radzilah Helmi Roizat, bagi melengkapkan senarai 23 pemain ke kejohanan di Thailand itu yang bakal berlangsung bermula Jumaat ini hingga 10 Ogos.

Dua pemain berkenaan menggantikan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) B-15, Irfan Shakimi Shahrizal, dan pemain AMD B-15, Raja Muhammad Haikarl Raja Mohammad Zahari, yang mengalami kecederaan sewaktu menyertai Kejohanan Bola Sepak Remaja B-15 di China yang berakhir semalam.

Malaysia muncul juara kejohanan berkenaan setelah menewaskan Korea Utara 2-1 dalam aksi terakhir pusingan awal kejohanan berkenaan. Skuad negara sebelum itu mengalahkan Iran 2-0, namun seri 1-1 dengan China.

FAM memaklumkan skuad B-15 negara akan terbang terus dari Haikou, China ke Chonburi, Thailand, hari ini.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen menentang Brunei Darussalam pada Ahad ini, Kemboja (30 Julai), Australia (1 Ogos), Laos (3 Ogos) sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang tuan rumah, Thailand, pada 5 Ogos.

Untuk rekod, Malaysia pernah muncul juara pada edisi 2013 selepas mengatasi Indonesia 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan seri 1-1.

Senarai 23 pemain:
Penjaga Gol: Zulhilmi Sharani, Ahmad Azeem Izhar Ahmad Faizal, Adika Arman Azmi
Pertahanan: Muhammad Daniel Edzuan Mohd Anuar, Adam Daniel Mohamad, Muhammad Kholil Ahmad Azian, Adam Farhan Mohd Faizal, Muhammad Alif Farhan Fauzi, Ahmad Rozaini Abu Bakar, Muhammad Yasser Sarifuddin
Tengah: Mohamad Afiq Amsyar Mohd Zarizal, Mohamad Ashraf Ahmad, Muhammad Adam Uwais Mohd Armi, Danish Irfan Ezal, Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin, Muhammad Izrin Ibrahim, Wan Muhammad Hakim Wan Mohd Nazri, Radzilah Helmi Roizat (SMK Ibrahim Fikri)
Penyerang: Mohamad Khairil Mohd Zain, Muhammad Aliff Izwan Yuslan, Muhammad Shahril Sobri, Zubaidi Mohd Buang, Muhammad Harry Danish Mohd Haizon (SSTMI B-15)