Tempoh persiapan selama tiga minggu menjadi cabaran terbesar buat pengendali skuad bola sepak pantai kebangsaan, Ismail Zakaria, bagi membentuk skuad mantap menghadapi Kejohanan AFC di Terengganu, bulan depan.

Kejohanan AFC menawarkan empat slot ke Kejohanan Bola Sepak Pantai Piala Dunia di Bahamas, April depan.

Malaysia ditempatkan dalam Kumpulan A bersama Iran, Bahrain, China dan Afghanistan.

Ismail, yang menggantikan tempat Wan Adremy Indra Wan Adnan sejak bulan lalu, perlu segera membentuk pasukan terbaik, dengan 15 pemain telah dipanggil menyertai kem latihan pusat.

Lantaran itu, Kejohanan Thailand Five dari 11 hingga 17 Februari ini memberi peluang buat Ismail menguji kemampuan pasukan bagi menghadapi saingan empat penjuru itu yang turut membabitkan Hungary dan Jepun.

"Saya melihat ini (Kejohanan Thailand Five) satu peluang menarik untuk saya menilai pemain.

"Apabila kembali ke Malaysia, saya dapat membuat persiapan yang lebih baik lagi.

"Kami tidak akan ke Bangkok untuk bergelar juara tetapi tujuan pendedahan dan untuk saya mengenal pasti apa yang perlu saya lakukan selepas ini," kata bekas pengendali skuad Liga Perdana Kuala Lumpur itu.

Bola sepak pantai bukan asing buat Ismail kerana dia pernah mengemudi skuad ini pada 2008 semasa menyertai Kejohanan Sukan Pantai ASEAN di Bali.

Beliau mengakui sistem permainan dalam sukan ini semakin berubah, selaras dengan peredaran masa dan perlu memastikan semua pemain dapat membentuk keserasian antara satu sama lain.

"Tiga minggu adalah tempoh yang singkat tapi saya anggap itu sebagai cabaran positif.

"Saya perlu bekerja keras dan bekerjasama dengan pemain dan saya harap mereka boleh fokus."