Malaysia dijangka berdepan laluan sukar untuk mara ke pusingan akhir selepas diundi dalam ‘kumpulan maut’ pusingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Kemboja, November depan.

Berdasarkan undian yang diadakan di AFC House, Bukit Jalil, hari ini, skuad bimbingan Bojan Hodak itu diundi dalam Kumpulan G bersama Thailand, tuan rumah, Kemboja, Brunei dan Kepulauan Mariana Utara.

Sebanyak 46 negara yang dibahagikan kepada 11 kumpulan akan bersaing bagi merebut tempat ke pusingan akhir dengan juara setiap kumpulan dan lima pasukan terbaik di tempat kedua akan mara ke pusingan akhir.

Pusingan kelayakan akan berlangsung dari 2 hingga 10 November depan di negara tuan rumah yang terpilih.

Hodak menyifatkan undian tersebut sukar dengan ujian sebenar adalah berdepan dengan Thailand dan Kemboja.

"Pertemuan sukar adalah dengan Thailand dan tidak menolak kemungkinan Kemboja juga.

"Selain menggunakan padang tiruan, Kemboja juga telah menunjukkan peningkatan selepas bermain sebagai satu pasukan dalam liga di negara itu," kata jurulatih kelahiran Croatia berusia 47 tahun itu selepas undian tersebut.

"Walaupun tidak seteruk menentang pasukan lain, sekurang-kurangnya semua pasukan dalam kumpulan itu adalah dari Asia Tenggara.

"Ia baik kerana kami dapat bertemu dengan beberapa pasukan itu dalam Kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019, Ogos ini," katanya.

Bagaimanapun, undian tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk merancang persediaan terbaik bagi mencapai keputusan terbaik dalam peringkat kumpulan serta melangkah ke pusingan akhir dengan bergaya.

"Kami yakin boleh mengatasi mana-mana pasukan apabila berada di tahap yang baik pada waktu yang diperlukan.

"Kini hanya perlu persediaan yang baik dan menggunakan Piala AFF sebagai persediaan terakhir,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia mara ke pusingan akhir kejohanan itu tahun lalu di Indonesia tetapi tersingkir di peringkat kumpulan.

Sementara itu, skuad B-16 negara diundi dalam Kumpulan J bersama juara bertahan, Jepun, Kemboja dan Laos bagi pusingan kelayakan AFC 2020 B-16, juga pada November depan.

-- BERNAMA