Penyingkiran Kelantan dan Felda United daripada pentas Piala Malaysia memberi kelegaan kepada jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, kerana akhirnya dapat mengumpulkan semua pemain terbaiknya sebelum berlepas ke Doha, Qatar, Rabu ini.

Dua pemain Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Hakimi Abdullah serta Zahril Azri Zabri dari Felda United menjadi kumpulan pemain terakhir yang akan menyertai sesi latihan esok.

Kehadiran mereka bertiga melengkapkan skuad terbaik yang dimiliki Hodak dan paling penting, sebagai platform kepada beliau untuk menguji kombinasi pemain sepanjang di Qatar nanti.

Malah, tonggak utama, Akhyar Rashid, disahkan sudah cergas sepenuhnya daripada masalah hamstring.

"Saya dapat mengumpul kesemua pemain dan berpeluang menguji mereka untuk pertemuan dengan sebuah pasukan yang bukan dari Asia Tenggara.

"Ini akan menjadi pengalaman baik buat pemain untuk menguji pemain yang sebaya dengan mereka dan beraksi dalam sebuah kejohanan.

"Dari situ, saya berpeluang menilai sejauh mana kemampuan kami dalam Kejohanan AFC B-19 nanti," katanya.

Sementara itu, Hodak tidak terkejut dengan keupayaan Tajikistan yang mampu mara ke Piala Dunia B-17.

Jelasnya, mereka sememangnya sebuah negara yang kuat dalam bola sepak dan tiada istilah pandang sebelah mata ketika bertemu dalam saingan Kejohanan AFC B-19 kelak.

"Lihatlah ranking dunia, adakah kita atau mereka yang lebih baik.

"Ranking itu mungkin memberi manfaat kepada kami kerana tiada jangkaan akan diletakkan ke atas kami," katanya.