Kejohanan AFC B-19: Hodak intai pentas lebih besar

Penulis Jemputan
Julai 16, 2018 05:33 MYT
Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, enggan anak buahnya meraikan kejayaan bergelar juara Kejohanan AFF 2018 terlalu lama tatkala mereka ada tugas yang lebih getir dalam Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19, Oktober depan.
Kejayaan meraih gelaran juara dalam Kejohanan AFF masih belum cukup untuk meletakkan skuad negara setaraf dengan lawan dalam saingan AFC.
Masih terlalu awal untuk Hodak berasa selesa dengan prestasi anak buahnya tatkala beliau sendiri tidak meletakkan harapan tinggi, apatah lagi selepas diundi dalam kumpulan D di samping juara dua kali, Arab Saudi, China dan Tajiskistan.
Sasaran awal ditetapkan beliau adalah ingin mengharungi satu persatu perlawanan dengan mengharapkan persediaan lebih rapi apabila mereka dijangka ke Thailand terlebih dahulu pada September sebagai persiapan.
"Kami akan memberi fokus terhadap satu persatu perlawanan dalam usaha memberi kejutan kepada pencabar.
"Perkara baiknya, kami tidak tertekan dengan harapan tinggi sepertimana dihadapi Indonesia sehingga tidak dapat beraksi baik ketika menentang kami meskipun memiliki pemain berbakat.
"Mental mereka berdepan tekanan hebat daripada media dan semua pihak, kami bernasib baik ini tidak berlaku di Malaysia.
"Kami akan turun sebagai 'underdog' dalam setiap perlawanan. Ini bermakna kami positif untuk melakar kejutan," kata Hodak.
Dalam pada itu, Muhammad Azri Ghani, tetap mengidamkan untuk terus menjadi penjaga gol utama negara dalam Kejohanan AFC sambil menyifatkan pengalaman cukup berharga diraih dalam Kejohanan AFF, khususnya selepas muncul wira menyelamatkan sepakan penalti untuk membawa pasukan ke aksi final sebelum bergelar juara.
"Insya-Allah, perebutan merebut posisi penjaga gol sangat sengit.
"Kami cuba menunjukkan prestasi terbaik dalam latihan untuk menambat hati jurulatih," kata Azri.