Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, kesal tiada kelonggaran diberikan Sekolah Sukan Bandar Seri Penawar (SSTMI) ke atas penjaga gol negara, Firdaus Imran Mohd Fadhil, yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bulan depan.

Situasi itu membuatkan Firdaus terlepas peluang untuk bersama dengan skuad Hodak bagi mengharungi Kejohanan AFC B-19 di Jakarta, Indonesia, bermula 20 Oktober ini.

Apa yang menjadi persoalan Hodak, kebiasaannya dalam persiapan kejohanan antarabangsa seperti ini, mereka akan mendapat kelonggaran daripada pihak sekolah, namun itu tidak berlaku dan lebih parah, ia merupakan isu yang sama untuk untuk tempoh dua tahun beliau mengemudi skuad B-19.

Tahun lalu dalam kejohanan yang sama, tiga wakil negara, iaitu Alif Safwan Salahuddin, Arif Shaqirin Suhaimi dan Feroz Baharuddin, gagal mendapat kelonggaran pihak sekolah juga disebabkan SPM.

"Saya nampak ini sesuatu yang melucukan.

"Tahun lepas juga berlaku hal sebegini, oleh itu saya tidak nampak apa tujuannya sekolah sukan seperti ini diwujudkan.

"Kalau pelajar sekolah sukan tidak boleh mewakili skuad negara dalam kejohanan antarabangsa, jadi apakah tujuan sebenar penubuhan sebenarnya?" ujar beliau.

Bukan menidakkan kepentingan SPM buat pemain negara, tetapi dalam hal seperti ini kebiasaannya mereka patut mendapat kelonggaran seperti mana yang berlaku kepada atlet lain.

"Tahun lepas sudah berlaku, begitu juga tahun ini.

"Mereka (pihak SSTMI) perlu mencari jalanan penyelesaiannya.

"Walaupun Firdaus bukanlah pilihan utama, dia sentiasa bersedia untuk beraksi," katanya lagi.