Pemain sayap, Arif Aiman Hanapi, enggan bersandarkan kepada reputasi semata-mata apabila berikrar untuk tingkatkan usaha bagi merebut tempat dalam skuad B-19 menjelang pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan, Oktober depan.

Pemain berusia 18 tahun itu melakukan kemunculan pertama bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) membabitkan perlawanan Liga Super bertemu Felda United, 14 Mac lalu.

"Saya tidak anggap ia satu kelebihan.

"Apabila berpeluang menyertai skuad B-19, saya perlu buat lebih baik lagi," katanya ketika ditemu bual wartawan, Zulhelmi Zainal Azam, dalam sesi latihan di Padang PKNS, Kelana Jaya, petang tadi.


Hari Ke-22 Latihan Pusat Fasa 2 Skuad B-19 Kebangsaan | 24 Ogos 2020 Skuad B-19 kebangsaan kendalian Brad Maloney...

Posted by Football Association of Malaysia on Monday, August 24, 2020


Bagaimanapun, Arif Aiman menganggap penglibatannya dalam skuad utama gergasi Liga Super itu mampu mempengaruhi corak permainannya.

"Latihan saya bersama pasukan utama JDT banyak mematangkan saya kerana peluang bermain di peringkat antarabangsa dan tempatan.

"Saya perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi Kejohanan AFC dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) jadi saya dapat pengalaman daripada itu," katanya.

Dalam masa sama, Arif Aiman berharap dapat memperkemaskan lagi keserasian antara pemain, khususnya muka baru seperti Wan Kuzri Wan Kamal.

"Agar sukar untuk membentuk persefahaman dengan Wan Kuzri sebab dia tidak banyak bersuara.

"Jadi saya harap dia lebih bersuara agar memudahkan permainan kami."