Kejohanan AFC B-16: Malaysia gagal atasi Thailand

Bernama
September 23, 2018 11:17 MYT
MALAYSIA 2 THAILAND 4
Malaysia berdepan tugas getir dalam misi melayakkan diri ke peringkat suku akhir Kejohanan Bawah 16 Tahun (B-16) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 selepas tewas 2-4 kepada Thailand dalam aksi kedua Kumpulan A, hari ini.
Dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Thailand yang tewas 2-5 kepada Jepun dalam aksi pembukaan Khamis lalu, bermula garang apabila berjaya membolosi gawang negara untuk mendahului seawal minit ketiga menerusi jaringan Mueanta Suphanat.
Masih segar dengan kejayaan membenam Tajikistan 6-2, skuad bimbingan ketua jurulatih Lim Teong Kim itu bangkit menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian hasil tandukan Luqman Hakim Shamsudin menewaskan penjaga gol lawan, Anucid Taweesri.
Skuad muda ‘Gajah Putih’ itu kemudian kembali memperkemaskan permainan dengan beberapa gerakan menarik sebelum Suphanat sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-21 untuk memberi Thailand kelebihan mendahului 2-1 sehingga rehat.
Bersambung babak kedua, beberapa perubahan strategi dilakukan Teong Kim membuahkan hasil apabila Malaysia sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Firdaus Kaironnisam pada minit ke-48.
Namun, Malaysia yang memburu slot ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) 2019 di Peru menerima tamparan hebat apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Luqman Hakim dilayangkan kad merah oleh pengadil pada minit ke-50 susulan terjahan keras ke atas pemain lawan.
Situasi itu digunakan sepenuhnya Thailand yang terdesak untuk mencatat kemenangan sebelum berjaya menjaringkan gol ketiga menerusi Thongbai Waragon tujuh minit kemudian.
Hasrat 10,000 penyokong tempatan yang hadir ke stadium untuk melihat skuad negara meraih kemenangan, musnah selepas pemain gantian, Janngam Apidet, meledak gol keempat Thailand pada minit ke-85 untuk mengesahkan kemenangan.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia, Thailand serta Jepun yang akan menentang Tajikistan malam ini, kini berkongsi tiga mata.
Malaysia perlu menang ke atas Jepun dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini, untuk mara ke peringkat suku akhir.
-- BERNAMA