Diego Simeone menganggap kejayaan terbaru mendakap gelaran LaLiga bersama Atletico Madrid terasa sangat istimewa dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.

Atleti menewaskan Real Valladolid 2-1 di Estadio Jose Zorrilla, awal pagi tadi, untuk menamatkan musim ini dengan dua mata di depan Real Madrid, yang turun merakamkan keputusan sama ke atas Villarreal.

Ia gelaran ke-11 Atleti dan yang kedua buat mereka dalam tempoh sembilan tahun di bawah kepimpinan Simeone -- selain dua trofi Liga Europa, dua Piala Super UEFA, Copa del Rey dan Supercopa de Espana.

Ia turut menyaksikan Simeone mengatasi pencapaian Luis Aragones (tujuh piala) untuk diangkat sebagai pengurus paling berjaya kelab itu.

Atleti di kedudukan teratas selama 30 hari dan walaupun cuba disaingi Madrid dan Barcelona pada minggu-minggu terakhir, Simeone berasakan pasukannya sememangnya layak untuk muncul juara dalam tahun yang sukar bagi semua orang yang berada di luar padang.

"Ini adalah tahun yang rumit," katanya kepada Movistar +.

"Ini adalah tahun terbaik untuk menjadi juara. Saya gembira bagi ramai pihak.

"Ramai orang dijangkiti virus ini. Jadi gelaran ini mampu menawarkan satu yang berbeza.

"Dua gelaran liga yang kami menangi menerbitkan perasaan yang berbeza. Dunia sedang mengalami situasi yang buruk dan saya harap kami mampu memberi sedikit keceriaan kepada ramai pihak.

"Kami menguasai puncak untuk tempoh yang lama. Saya bersyukur, khususnya kepada pemain yang kurang beraksi. Kami terus bertahan dengan sasaran kami."

Pengurus dari Argentina itu, yang turut membimbing Atleti ke beberapa final Liga Juara-Juara, pada awal musim ini memberi isyarat keinginannya untuk mencari cabaran baru.

Pengurus berusia 51 tahun itu mengakui bahawa kaedah latihannya mampu mempengaruhi pemain tetapi dapat melihat masa depan yang cerah untuk Atleti maju sambil memberi bayangan berbeza pada kali ini.




"Saya tidak ragu-ragu bahawa pemain boleh menjadi lesu tetapi saya sangat keras kepala," katanya.

"Saya tahu dan menyedari bahawa kelab ini mampu terus berkembang dan saya harap ia akan berterusan seperti ini.

"Kelab ini telah melakukan usaha yang luar biasa. Miguel Angel Gil Marin, Enrique Cerezo dan semua orang yang di belakang tadbir memberikan kestabilan. Inilah yang mereka inginkan.

"Mereka tidak dapat berada di sini untuk meraikannya tetapi tidak lama lagi kami semua akan berpelukan."