Pep Guardiola menyifatkan kejayaan memenangi trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sebagai salah satu pencapaian terbesar dalam kariernya.

Manchester City menjulang trofi liga semalam selepas menamatkan aksi menentang Huddersfield Town yang berakhir 0-0 di Etihad, dengan meletakkan diri mereka 17 mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Manchester United.

Guardiola sebelum ini telah memenangi tiga kejuaraan liga sewaktu mengendalikan Barcelona dan Bayern Munich tetapi gagal mengatasi cabaran dalam musim pertamanya di England bersama City apabila sekadar menduduki tangga ketiga dan menamatkan musim lalu tanpa sebarang trofi.

Bagaimanapun, pengendali berusia 47 tahun itu tidak berputus asa dengan falsafah bola sepak yang diterapkannya sehingga membolehkan City meraih status juara Piala Liga dan EPL pada musim ini.

“Ia adalah EPL. England sangat istimewa, sangat sukar dan hari ini kami menyaksikannya. Kami telah melakukannya,” ujar Guardiola.

“Anda tidak akan tahu bahawa anda akan memenanginya tetapi saya tidak pernah meragui apa yang dilakukan. Kekalahan adalah sebahagian daripada pertandingan, tiada yang istimewa.

“Anda tewas, menang tetapi sentiasa mencuba apa yang dipercayai,” katanya.

Selepas meraih tiga kejuaraan domestik ketika bersama Barca dan Bayern, Guardiola mahu mengulanginya bersama City tetapi aksi longlai ketika menentang Huddersfield membuktikan mereka masih perlu mempertingkatkan persembahan pada musim depan.

“Hari ini adalah bukti bahawa kami boleh melakukan lebih baik. Ia sungguh tegang kerana 11 pemain Huddersfield cuba untuk kekal dalam EPL. Kami kehilangan sedikit fokus pada minggu ini tetapi ia normal.

“Di sini, ia lebih sukar, terutama bersama City, tetapi saya fikir apa yang paling penting adalah beraksi dengan baik dan melihat di mana tahap kami.

“Kami menyaksikan apa yang berlaku pada musim lalu. Pasukan yang muncul juara tidak dapat melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim berikutnya dan ia berlaku berturut-turut tetapi kami menerima cabaran itu,” tambahnya.