Penghargaan yang diraih pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri, seharusnya dijadikan sebagai pencetus inspirasi buat pemain tempatan yang lain bahawa kemampuan mereka tidak seharusnya dibataskan kepada sesuatu peringkat sahaja.

Demikian pandangan pemerhati sukan tanah air, Rizal Hashim, bagi mengulas kejayaan Faiz yang meraih Anugerah Puskas 2016 sempena majlis Anugerah Persekutuan Bolasepak (FIFA) di Zurich, Switzerland, awal pagi tadi.

Walaupun penghargaan seperti itu mungkin sukar untuk diulangi dalam tempoh terdekat, Rizal tetap yakin ia dapat dijadikan sebagai pendorong buat rakan seperjuangan Faiz.

Malah, kejayaan Faiz juga secara tidak langsung memberi satu impak tersendiri terhadap bola sepak di Malaysia yang sebelum ini lebih dikenali dengan imej negatif seperti masalah pengurusan dan juga rasuah.

"Kami berharap pencapaian Faiz dijadikan pencetus inspirasi bagi meningkatkan mutu permainan bola sepak di Malaysia. Mungkin pemain-pemain muda Malaysia lain dapat pengiktirafan di peringkat dunia pada masa akan datang," katanya.

Pandangan sama turut disuarakan pemerhati bola sepak, Hasnizam Uzir.

Beliau berasakan pencapaian yang diraih Faiz secara tidak langsung dapat membantu mempertingkatkan lagi keyakinan serta mutu permainan pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu.

"Ini akan memberikan motivasi buat Faiz bagi menghadapi cabaran saingan Liga Malaysia di masa akan datang. Waktu usianya semakin meningkat, saya percaya kejayaan ini akan menjadi pemangkin buat dirinya untuk terus maju," katanya..

Faiz megetepikan dua lagi calon akhir, Jonath Marlone Azevedo da Silva (Brazil) dan Daniuska Rodriguez (Venezuela), selepas diumumkan legenda Brazil, Ronaldo.

Jaringan menakjubkan yang membawa kepada kemenangan itu dilakukan Faiz ketika mengambil sepakan percuma untuk membantu skuad Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari tahun lepas.