Satu penampilan dan satu jaringan yang diraih membuatkan Nazrin Nawi teruja untuk terus berentap dengan rakan sepasukan bagi merebut kesebelasan utama dalam skuad Melaka.

Nazrin, yang berhijrah daripada Perak, terpaksa menanti lama untuk membuat penampilan sulung bersama Melaka tatkala skuad Hang Tuah itu menerima kunjungan Kuala Lumpur kelmarin.

Beraksi di bahagian sayap kiri, Nazrin memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan pengendali, Zainal Abidin Hassan, apabila meledakkan satu gol.

Bagaimanapun, dia tahu satu persembahan positif masih belum memadai untuk dia mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama.

"Saya akan bawa persembahan itu ke aksi seterusnya buat Melaka. Bagi saya, apa yang ada masih belum cukup. Saya berpeluang menyumbat dua gol dan ia memberikan keyakinan," katanya.

Nazrin, yang pernah menikmati pelbagai kejuaraan bola sepak Malaysia bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak, yakin aura juara yang sama turut ada dalam skuad Melaka.

Ia susulan pendekatan Melaka mendapatkan khidmat pemain tempatan dan import berkualiti seperti Safiq Rahim dan Liridon Krasniqi.

"Apa yang semua orang lihat, Melaka membawa masuk pemain ternama. Saya dahagakan kejayaan, jadi diharapkan Melaka akan buat sesuatu untuk tahun ini," tambah Nazrin.