Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, tidak beranggappan kehilangan Renan Alves sebagai petanda buruk untuk bertemu Perak dalam final Piala FA walaupun ketiadaan tonggak pertahanan itu sebelum ini memberi impak besar kepada skuad Lang Merah.

Alves menjalani penggantungan perlawanan buat kali kedua musim ini selepas dikenakan hukuman yang sama Mac lalu.

Ketika itu, skuad Lang Merah 'patah sayap' apabila tewas 0-1 kepada Pahang di tempat lawan sebelum berhempas-pulas mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-1 di laman sendiri.

Berdasarkan situasi itu, kehilangan pertahanan dari Brazil itu jelas memberikan tamparan buat skuad Kedah, namun Aidil masih bersikap positif terhadap kepincangan yang dialami.

"Apa sahaja boleh berlaku dan ini merupakan kali kedua Alves digantung. Ia akan menjadi pengajaran buat dirinya. Kami akan terus membuat persiapan menghadapi final berdepan Perak," katanya.

Terdahulu, hasrat Kedah mendapatkan khidmat Alves untuk final Piala FA tidak kesampaian selepas permohonan menunda hukuman penggantungannya ditolak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pemain berusia 27 tahun itu digantung satu perlawanan selepas mengutip dua kad kuning dalam aksi terakhir Liga Super menentang Felda United di Jengka, Ahad lalu.

"Persembahan pasukan semakin meningkat hari demi hari dan kami akan cuba memberikan yang terbaik Sabtu ini."