Jurulatih baru Harimau Malaya, Kim Pan-gon, menjadikan keharmonian pasukan antara agenda awalnya apabila memulakan tugasnya pada awal bulan depan.

Dalam laporan bedah siasat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kegagalan pasukan kebangsaan dalam Piala AFF 2020, Badan Siasatan Bebas yang diketuai Datuk Dell Akbar Khan menyenaraikan antara elemen yang menyumbang kekecewaan itu ialah sikap berpuak-puak dalam pasukan.

Menerusi wawancara bersama Football Asia, pakar taktikal dari Korea Selatan itu berkata tugas barisan kejurulatihan yang akan dibawanya seramai lima orang kini tidak terhad di luar padang sahaja.

Barisan kejurulatihan yang bakal diketuainya merangkumi jurulatih di bahagian serangan, pertahanan, penjaga gol, kecergasan dan pakar analisis.

Sementara itu, pemerhati bola sepak, Azlan Johar, menganggap tindakan FAM memansuhkan jawatan pengurus itu sebagai langkah awal dalam memacu semula kegemilangan bola sepak negara.

"Terlalu ramai pegawai pun akan membuatkan pemain perlu memandang sama ada jurulatih atau pengurus.

"Tetapi sekarang hanya seorang jurulatih yang akan mengendalikan semua, dia juga yang menguruskan (pasukan).

"Mahu atau tidak, hanya seorang ini sahaja yang pemain perlu berdepan.

"Kadang-kadang ada pengurus, dia akan tarik pemain ke tepi dan cakap lain (daripada arahan jurulatih), perkara ini memang berlaku dalam bola sepak.

"Sebab itu kelab-kelab terkemuka dan pasukan kebangsaan, hanya ada satu jurulatih merangkap pengurus.

"Perubahan ini adalah satu permulaan terbaik, Kim akan berkuasa sepenuhnya ke atas pasukan kebangsaan dan juga bebas buat apa sahaja keputusan yang dirasakan baik untuk pasukan," kata Azlan.